Kawan mati depan mata

Iklan
Beberapa penunggang motosikal dipercayai sedang berlumba.

SHAH ALAM - Beberapa lebuh raya dan jalan raya di sekitar ibu kota kerap dijadikan litar perlumbaan motosikal pada setiap hujung minggu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati Lebuhraya Guthrie, Shah Alam pada Sabtu membabitkan laluan dari Plaza Tol Elmina hingga Plaza Tol Bukit Lagong menjadi lokasi penunggang motosikal berlumba secara berkumpulan.

Iklan
Iklan

Suasana lebuh raya yang sunyi dengan pergerakan perlahan pelbagai jenis kenderaan pada jam 11 malam berubah dua jam kemudian apabila deruman motosikal kedengaran, ditunggang laju dan saling berlumba sesama sendiri.

Bahu jalan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Elmina pula menjadi tempat penonton berhimpun untuk menyaksikan perlumbaan, malah merakam aksi berbahaya penunggang motosikal yang turut membabitkan remaja perempuan.

Iklan

Situasi sama turut berlaku dalam tinjauan berasingan di Jalan Raja Muda Musa berhampiran Kompleks Sukan Pandamaran, Klang yang dijadikan litar lumba haram.

Kehadiran mereka kelihatan terancang, dengan setiap kumpulan berhenti di lokasi tertentu seolah-olah sudah mengetahui titik pertemuan yang ditetapkan.

Iklan

Deruman enjin yang semakin kuat menarik perhatian individu lain yang kemudiannya berkumpul di lokasi tertentu.

Beberapa penunggang motosikal dilihat memecut laju di jalan berkenaan, melakukan aksi wheelie dan superman serta ‘mencilok’ di antara kenderaan lain.

Dalam tempoh hampir 10 minit, mereka akan kembali berkumpul di kawasan tersebut sebelum perlumbaan diteruskan oleh kumpulan penunggang berikutnya.

Situasi itu berlarutan sehingga jam 4 pagi sebelum masing-masing meninggalkan lokasi secara beransur-ansur.

Sinar Harian menghampiri sekumpulan remaja yang terlibat bagi melihat secara dekat motosikal yang digunakan mereka untuk berlumba, kebanyakannya telah diubah suai.

Mereka yang berusia antara 15 hingga 17 tahun dilihat teruja dan bangga dengan jentera masing-masing, selepas membelanjakan ribuan ringgit untuk memastikan motosikal ditunggang tampak gah di jalan raya.

Beberapa penunggang motosikal dipercayai sedang berlumba.

“Lepak di sini suka-suka sahaja, lagipun malam minggu tak ada apa nak buat. Datang sini ramai orang dan boleh 'test power' enjin.

“Memanglah bahaya berlumba. Dulu waktu berlumba, kawan saya meninggal dunia terbabas rempuh pembahagi jalan.

“Masa itu motosikal saya di belakang. Nampaklah depan mata tapi nak buat macam mana, dah takdir dia,” kata salah seorang remaja dikenali sebagai Afiq.

Seorang lagi rakannya bernama Hafiz yang masih bersekolah menengah mengakui seronok memuat naik rakaman video aksi berlumba itu di media sosial.

“Kami berlumba bukan sebab nak menang tapi nak merakam aksi dan meraih perhatian di media sosial.

“Bila video dimuat naik, ramai yang tekan suka dan kongsi. Kalau buat 'live' mesti ramai yang tengok dan beri 'gift',” katanya.