Remaja maut, tujuh cedera nahas lapan motosikal di BKE

Iklan
Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM - Seorang penunggang motosikal maut manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan melibatkan lapan buah motosikal di Kilometer 8.2 Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) arah Kulim, awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa, remaja lelaki berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, siasatan awal mendapati semua motosikal terbabit sedang bergerak dari arah Seberang Jaya menuju ke Kulim sebelum salah sebuah motosikal bergesel sesama sendiri dan hilang kawalan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan motosikal berkenaan terbabas dan mengakibatkan motosikal lain yang berada di belakang melanggar sesama sendiri di laluan kereta.

Iklan

"Akibat pelanggaran tersebut, seorang penunggang lelaki berusia 18 tahun telah terjatuh di sebelah kiri jalan dan melanggar besi penghadang jalan antara lorong kereta dan lorong motor.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan telah meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Iklan

Helmi berkata, tujuh lagi penunggang berusia antara 18 hingga 22 tahun mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya bagi tujuan bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai, khususnya golongan muda, agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak menunggang secara berbahaya yang boleh mengancam nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Insp. Nor Aliza Fatim di talian 017-4046215 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seberang Perai Tengah.