PONTIAN – Momentum kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag perlu diteruskan pada pilihan raya negeri (PRN) serta pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kemenangan tersebut memberi petanda jelas pengundi tetap mahukan Barisan Nasional (BN) mewakili mereka sekali gus menjadi isyarat penting menjelang PRN Melaka.
"Kesinambungan sokongan yang dizahirkan rakyat dalam PRK berkenaan perlu diterjemahkan dengan calon menunaikan janji-janji semasa berkempen agar keyakinan pengundi dapat terus diperkukuh.
“Janji-janji pilihan raya ini penting untuk ditunaikan sama ada melalui kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian selepas merasmikan Koperasi Peniaga Pasar Lambak Pontian di Taman Megah pada Ahad.
Keputusan PRK bagi Parlimen Kinabatangan menyaksikan Mohd Kurniawan Naim berjaya mempertahankan kerusi yang disandang bapanya sejak 1999 dengan meraih 14,214 majoriti undi menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Mohd Ismail pula berjaya mengekalkan kerusi DUN Lamag untuk BN apabila memperoleh majoriti undi 5,681 menewaskan pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lepas.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, dengan adanya wakil di peringkat negeri dan persekutuan, keperluan menambah fasiliti serta prasarana rakyat perlu diberi perhatian dan diselesaikan.
“Kita menaruh harapan agar kedua-dua wakil rakyat yang masih muda dan bertenaga ini dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat, khususnya di Parlimen Kinabatangan yang keluasannya hampir menyamai negeri Johor,” katanya.
Mengulas sama ada kemenangan PRK berkenaan mampu memberi suntikan semangat kepada BN menjelang PRN Melaka dan Johor, beliau berharap kedua-dua negeri itu akan dimenangi BN.
“Walaupun BN tewas pada PRN Sabah, perkara sama tidak akan berulang di Melaka dan Johor yang dijangka mengadakan PRN pada tahun ini dan tahun hadapan,” katanya.
Pada Sabtu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan PRN Melaka akan diadakan dalam tempoh dua hingga 10 bulan akan datang.