'Penduduk lega, tapi berhati-hati'

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu berkaitan syor PM untuk membatalkan projek ladang babi. Gambar kecil dari kiri: Mohd Khairudin dan Zulkarnain

SHAH ALAM - Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya projek ternakan babi berpusat di Bukit Tagar dibatalkan terlebih dahulu atau dipindahkan di kawasan baharu memberi sedikit kelegaan kepada penduduk setempat yang telah lama menyuarakan isu tersebut.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Hulu Selangor, Zulkarnain Abu Hanit berkata, bagaimanapun penduduk masih mengambil pendekatan berhati-hati selagi Kerajaan Selangor belum mengeluarkan kenyataan rasmi secepat mungkin.

Iklan
Iklan

Zulkarnain memaklumkan, pihaknya atas kapasiti peribadi mahupun mewakili komuniti menyambut baik cadangan Perdana Menteri itu kerana rancangan pemindahan ladang babi dari Tanjung Sepat ke Bukit Tagar mencetuskan kontroversi dalam kalangan penduduk dan masyarakat secara umumnya.

“Selagi tak buat kenyataan rasmi dengan membatalkan cadangan ini, selagi itulah saya percaya masyarakat Hulu Selangor belum betul-betul lega.

Iklan

“Kemungkinan demonstrasi aman dan tekanan tidak kira daripada penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahkan UMNO sendiri akan diteruskan sehinggalah ada keputusan pembatalan daripada kerajaan negeri,” katanya kepada Sinar Ahad.

Tambah Zulkarnain, pihaknya percaya isu berbangkit merentasi parti dan kesemuanya pasti akan mengambil bahagian dalam melaksanakan demo bantahan.

Iklan

Beliau berkata, jika tiada keputusan atau kenyataan rasmi dikeluarkan Kerajaan Selangor dalam tempoh terdekat, masyarakat Hulu Selangor akan membawa perkara itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Terdapat keperluan untuk bawa pandangan rakyat dan pendapat UMNO Bahagian Hulu Selangor kepada baginda bagi menyatakan keresahan serta bantahan kami berhubung keputusan ini,” ujarnya.

Sementara itu wakil Felda Soeharto, Datuk Mohd Khairudin Mohamad berkata, penduduk setempat tidak mahu operasi ternakan ladang babi dibangunkan di lokasi terbabit.

“Saya selaku anak peneroka Felda Soeharto tidak nampak apa-apa kesan positif pun sekiranya projek ternakan babi di Bukit Tagar diteruskan.

“Sewaktu demonstrasi bantahan penduduk baru-baru ini, pendirian kami semua sama iaitu menolak projek tersebut dan apabila Perdana Menteri cadangkan supaya dibatalkan terlebih dahulu atau bina di kawasan lain, kami memang gembira,” katanya.

Terdahulu, Anwar ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau al-Amin Seksyen 8, Bandar Baru Bangi memaklumkan, beliau bakal mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi mendapatkan penyelesaian terbaik berhubung isu itu.

Ahli Parlimen Tambun itu menambah, isu berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya, susulan ia menimbulkan keresahan rakyat di kawasan terlibat.

Anwar berpandangan, meskipun teknologi yang bakal digunakan berada pada tahap terbaik, ia tetap tidak wajar diteruskan jika gagal mengambil kira keluhan penduduk.