SHAH ALAM - Pas menafikan dakwaan bahawa keputusan menghentikan keahlian tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perlis dibuat atas arahan peribadi Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, tindakan itu sebaliknya merupakan ketetapan rasmi Pas selaras dengan Perlembagaan parti.
"Sebagai pencerahan, Fasal 15A Perlembagaan Pas (Pindaan 2025) berkaitan Keberhentian Ahli Badan Perundangan Pas telah diluluskan oleh Muktamar Pas dengan sokongan sebulat suara.
"Di penghujung fasal tersebut dinyatakan dengan jelas bahawa '... keputusan adalah muktamad'," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden Pas menjelaskan bahawa ketetapan tersebut adalah keputusan Muktamar, selaku badan tertinggi parti.
Tambah Mohd Syahir, Pas Pusat hanya melaksanakan keputusan tersebut bagi memenuhi mandat dan hasrat akar umbi parti, mengambil kira betapa seriusnya pelanggaran berkenaan.
"Untuk tujuan kejelasan fakta, keputusan Pas Pusat yang dibuat pada 24 Disember 2025 adalah berdasarkan kepada perakuan dan pengakuan yang telah diberikan sendiri tiga bekas ADUN berkenaan kepada Jawatankuasa Harian Pas Pusat dalam mesyuarat yang diadakan di Pejabat Agung Pas pada 21 Disember 2025.
"Adapun hubungan antara Presiden Pas, Mursyidul Am Pas, seluruh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat serta Ahli Majlis Syura Ulama sentiasa terpelihara dan kekal utuh," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Pas memutuskan keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani akuan bersumpah (SD) yang didakwa menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.
Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).