KANGAR – Kehadiran tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang sebelum ini diberhentikan keanggotaan parti dalam satu pertemuan melibatkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin pada Jumaat menimbulkan persoalan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun mempersoalkan kehadiran wakil rakyat berkenaan sambil menyifatkan perkara itu bukan isu kecil kerana menyentuh soal disiplin parti, amanah dan pengkhianatan.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Perlis mendakwa, kelibat tiga individu itu kini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pimpinan dan ahli parti.
"Maaf saya bertanya. Kenapa mantan ADUN yang terhenti keahliannya boleh berada dalam pertemuan mahabbah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin dan Tuan Guru Mursyidul Am Pas.
"Soalan ini bukan kecil. Ia menyentuh soal disiplin parti, amanah dan pengkhianatan," katanya dalam satu hantaran di media sosialnya.
Hantaran itu turut disertakan sekeping gambar menunjukkan Muhyiddin bergambar bersama Hashim, Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil, pimpinan Bersatu Perlis dan tiga bekas ADUN Pas yang dipertikaikan.
Mereka ialah Saad Seman yang juga ADUN Chuping; Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Dalam hantaran sama, beliau turut tertanya-tanya, adakah tindakan tiga bekas ADUN Pas yang melanggar disiplin parti, menandatangani hilang kepercayaan kepada Mantan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli sehingga membuka laluan kepada Menteri Besar daripada Bersatu Perlis ada kaitan dengan kumpulan yang berada dalam gambar tersebut?
“Selama ini kita bercakap tentang wala’, thiqah dan disiplin jemaah, tetapi hari ini seolah-olah pengkhianatan diberi ruang sehingga menyebabkan ahli keliru dan dikhuatiri menjadi satu normalisasi pada masa hadapan,” ujarnya.
Dakwanya, individu yang pernah datang 'berjumpa' dengan dirinya juga berada dalam gambar yang sama.
Sementara itu, Ahmad Adnan seperti dipetik melalui sebuah portal berkata, kehadirannya pada pertemuan tersebut adalah atas jemputan Mursyidul Am Pas.
Menurutnya, walaupun ketiga-tiga bekas ADUN Pas terbabit dikenakan tindakan disiplin, hubungan peribadi dan kemasyarakatan antara mereka masih kekal seperti biasa.
"Apabila ada sesuatu majlis keraian atau kenduri, biasanya Mursyidul Am Pas akan jemput. Bukan kerana ada satu perbincangan atau sebagainya, tetapi kerana Tan Sri Muhyiddin datang untuk bertemu dengan Tuanku Raja Perlis, bertemu dengan menteri besar,” katanya.