BUKIT MERTAJAM – Malaysia tidak boleh berpuas hati dengan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu mempunyai hala tuju yang jelas bagi memastikan negara tidak terperangkap dalam kelompok negara berpendapatan sederhana atau 'middle income trap'.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, banyak negara mencatat kemajuan ekonomi pada peringkat awal, namun akhirnya tersangkut di satu tahap tanpa lonjakan bermakna kerana kegagalan menterjemahkan dasar kepada pelaksanaan di peringkat akar umbi.
“Bila negara ini sudah meletakkan asas ekonomi yang lebih meyakinkan, ia mesti disusuli dengan hala tuju yang jelas supaya Malaysia tidak terperangkap dalam apa yang disebut sebagai 'middle income trap'.
“Kita lihat banyak negara maju seketika, kemudian tersangkut di satu peringkat. Sebab itu kita merangka beberapa dasar utama termasuk dalam Pelan Perindustrian dan Pelan Transformasi Digital Negara,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seberang Perai Aspire Centre (SPACE) dan Program Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Santuni Komuniti di Bangunan MBSP di sini pada Sabtu.
Menurut Anwar, antara ikhtiar utama kerajaan menerusi pelan tersebut ialah memastikan dasar di peringkat persekutuan diterjemahkan secara konkrit di peringkat bawah termasuk melalui pembangunan pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan industri semikonduktor.
“Dalam konteks SPACE, kita pastikan dasar yang di atas itu diterjemahkan dengan percambahan pusat data. Dengan AI, Malaysia menjadi tarikan utama.
“Dalam industri semikonduktor pula, Malaysia sudah muncul sebagai hab. Infineon, selain di Jerman, pelaburan terbesar mereka adalah di Malaysia. Nvidia dan Google juga menjadikan Malaysia dan Johor sebagai pusat bagi rantau ini,” ujarnya.
Bagaimanapun tegas beliau, segala kelebihan tersebut tidak akan memberi manfaat maksimum sekiranya jentera dan ekosistem teknologi itu gagal dimanfaatkan di peringkat tempatan.
“Kalau kita ada jentera yang begitu canggih tetapi tidak diterjemahkan di peringkat bawah, kita tidak akan dapat manfaatnya,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menzahirkan penghargaan kepada MBSP yang disifatkan sebagai antara pihak berkuasa tempatan terawal melaksanakan inisiatif Bandar Pintar walaupun dengan kekangan tertentu.
“Saya ucap tahniah kepada MBSP kerana antara yang awal melaksanakan – walaupun secara berperingkat dan dalam keadaan yang terbatas – apa yang dimaksudkan dengan Smart City.
"Pembangunan bandar pintar bukan sekadar perubahan biasa, sebaliknya memerlukan satu lonjakan besar merangkumi aspek prasarana, latihan dan pembangunan bakat. Ini bukan sekadar 'paradigm shift'.
"Kalau kita rujuk teori Thomas Kuhn, peralihan paradigma memerlukan masa dan persiapan rapi. Ia menuntut lonjakan, prasarana, latihan dan kesediaan sumber manusia.
“MBSP perlu memastikan bakat asas yang ada diberi peluang menguasai teknologi baharu kerana bidang ini sangat mencabar dan tergolong dalam teknologi baharu yang kita belum biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas kepada kejayaan bandar pintar dan ekonomi digital termasuk penguasaan bahasa Inggeris dan pendedahan awal kepada AI.
“Dalam perancangan pendidikan negara yang kita luncurkan minggu lalu, antara penekanan utama ialah memperkenalkan disiplin mata pelajaran baharu termasuk AI sejak peringkat awal.
“Untuk bandar pintar, penggunaan bahasa Inggeris adalah keperluan. Walaupun bahasa Melayu kekal sebagai teras, bahasa Inggeris mesti dikuasai dengan baik, bukan sekadar untuk komunikasi tetapi untuk penguasaan ilmu dan teknologi,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan sistem pendidikan yang inklusif dengan memberi ruang kepada penguasaan bahasa lain seperti bahasa Cina, Tamil dan Arab tanpa mengabaikan bahasa Melayu, sejarah dan asas kenegaraan.
“Apa masalahnya kalau seseorang menguasai bahasa lain? Terasnya tetap bahasa Melayu dan mesti menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Laluan pendidikan perlu dibuka seluasnya.
“Jangan terus bergaduh soal remeh. Selamatkan negara kita. Tumpu kepada perkara penting. Ekonomi mesti mantap dan pekerjaan mesti diwujudkan,” katanya lagi.