Serbuan pusat penipuan di Kemboja: Lebih 2,100 warga Indonesia mohon bantuan kedutaan

Iklan
Lebih 2,000 warga Indonesia mendapatkan bantuan daripada Kedutaan Besar Indonesia di Phnom Penh sepanjang minggu lalu untuk pulang ke tanah air - Fotol: Agensi

JAKARTA - Seramai 2,117 warga Indonesia mendapatkan bantuan daripada Kedutaan Besar Indonesia di Phnom Penh sepanjang minggu lalu untuk pulang ke tanah air, susulan peningkatan kes yang dikaitkan dengan tindakan keras pihak berkuasa Kemboja terhadap pusat penipuan dalam talian.

Kementerian Luar Indonesia memaklumkan bahawa jumlah berkenaan dijangka terus meningkat apabila lebih ramai warga Indonesia tampil mendapatkan bantuan.

Iklan
Iklan

Pada 22 Januari sahaja, seramai 224 warga Indonesia melaporkan diri kepada kedutaan, diikuti 164 lagi setakat 5 petang keesokan harinya, sekali gus meningkatkan jumlah daripada 1,726 yang direkodkan antara 16 hingga 21 Januari kepada 2,117.

"Peningkatan ini berlaku berikutan serbuan kerajaan Kemboja terhadap operasi penipuan dalam talian, yang mendorong ramai rakyat asing, termasuk warga Indonesia, meninggalkan lokasi yang dikaitkan dengan sindiket berkenaan.

Iklan

"Situasi serupa turut dilaporkan di beberapa kedutaan asing lain di Phnom Penh yang juga sesak dengan warganegara masing-masing,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Duta Besar Indonesia ke Kemboja, Santo Darmosumarto berkata, pihak kedutaan kini mempertingkatkan penyelarasan dengan pihak berkuasa Kemboja bagi mempercepatkan kelulusan permit keluar serta memohon kelonggaran penalti imigresen bagi warga Indonesia yang terjejas.

Iklan

Menurut kementerian itu, sepanjang 2025, pihak kedutaan telah mengendalikan 5,088 kes berkaitan warga Indonesia, dengan purata 15 hingga 30 kes sehari - jauh lebih rendah berbanding minggu lalu apabila aduan baharu pernah mencecah 520 kes dalam sehari.

Warga Indonesia turut diingatkan supaya berwaspada terhadap penipuan yang menyamar sebagai pihak kedutaan dan dinasihatkan agar terus berhubung dengan ahli keluarga di Indonesia untuk membantu kelancaran proses kepulangan mereka. - Bernama