PASIR PUTEH – Seni tradisional Kelantan seperti main petri, tari inai, dikir laba, rebana mangkuk, kertuk kelapa dan gendang Siam kini menunggu masa luput ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk menghidupkan kembali warisan nenek moyang Cik Siti Wan Kembang itu.
Penaung Persatuan Cinta Seni Budaya (Persidaya), Mohd Sulhi Yusof berkata, penggiat seni yang masih ada ini memerlukan sokongan daripada kerajaan negeri untuk mereka terus berjuang menyuburkan tradisi supaya ia kekal relevan.
"Di pihak Persidaya, kami cuba menggabungkan kesemua seni tradisional Kelantan yang hampir pupus ini dan dipersembahkan dalam bentuk teater bagi menghidupkan kembali warisan budaya negeri Kelantan.
"Kita himpunkan penggiat tari inai, dikir laba, rebana mangkuk, kertuk kelapa, gendang Siam serta dikir barat dan dipersembahkan dalam bentuk teater menggunakan elemen main petri yang sebelum ini sering dikaitkan dengan unsur syirik.
"Namun untuk persembahan kali ini, kita tidak melibatkan sebarang unsur tersebut, sebaliknya hanya dalam bentuk penceritaan semata-mata," katanya semasa sidang akhbar pada Jumaat malam.
Sebelum itu beliau hadir pada Pementasan Teater Tradisional Semalam Mencari Cik Siti Wan Kembang yang dianjurkan oleh Yayasan Hasanah dari Kuala Lumpur di Kampung Alor Hijau, Selising di sini.
Hadir sama ialah Timbalan Exco Pelancongan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Zameri Mat Nawang.
Menurut Mohd Sulhi, kesemua seni tradisional tersebut kini semakin terpinggir berikutan ketiadaan pewaris.
Ujarnya, fokus utama penganjuran adalah untuk mengangkat kembali seni budaya Kelantan yang hampir pupus untuk diperkenalkan kepada generasi muda, selain mengimbau nostalgia generasi terdahulu.
Tambah beliau, melihat sambutan daripada orang ramai daripada pelbagai peringkat umur, pihaknya bersedia menjelajah ke setiap jajahan di negeri ini sekiranya mendapat permintaan dan sokongan daripada Kerajaan Kelantan.
"Selain itu kita ingin memberi kesedaran bahawa seni tradisional masih mempunyai pewaris, namun memerlukan usaha berterusan untuk dilestarikan.Jika tidak, seni ini akan luput ditelan zaman," katanya.