KOTA BHARU – Hasil tinjauan Sinar Harian pada Jumaat, harga emas 916 mencatat paras tertinggi dengan diniagakan RM600 hingga RM610.29 per gram di negeri ini.
Jurujual emas, Muhamad Firdaus Mohd Yusof, 25, berkata, harga emas itu naik antara RM10 hingga RM20.29 berbanding RM590 sehari sebelumnya.
“Kelmarin, harga emas 916 yang baharu RM596 dan semalam turun kepada RM590.
“Hari ini naik hingga RM610.29 satu gram, belum termasuk upah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedai emas Dhiya Gold House berhampiran Pasar Siti Khadijah di sini pada Jumaat.
Dia menjelaskan, peningkatan harga emas itu selari dengan pasaran global, selain permintaan yang meningkat menjelang musim perayaan Aidilfitri akan datang.
“Pelanggan tetap ada, terutama dah nak bulan puasa dan seterusnya raya Aidilfitri.
“Dalam setahun, kenaikan harga emas 916 cecah sekitar RM100 setiap gram,” katanya.
Walaupun harga emas naik, Muhamad Firdaus berkata, permintaan tetap kukuh kerana masyarakat melihat emas sebagai pelaburan jangka panjang dan simpanan selamat.
“Ramai tahu harga emas akan terus naik dijangka sehingga RM700 masa depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, tinjauan dalam kalangan pembeli emas menunjukkan ramai yang membeli bukan hanya sekadar fesyen, tetapi sebagai simpanan jangka panjang dan persediaan ketika kecemasan.
Kerani, Nur Ain Surazru, 20, berkata, dia membeli emas jenis lipan kerana reka bentuknya tahan lasak dan sesuai untuk kegunaan harian.
“Dengar-dengar harga emas akan naik lagi tinggi, jadi saya datang tengok dan beli terus yang berkenan.
“Duit ini duit simpanan dan kalau tak beli sekarang, biasanya harga emas akan naik lagi terutama dekat nak raya,” katanya.
Ain berkata, dia tidak bercadang untuk menjual emas yang dibeli tetapi bersedia menggadaikannya jika berdepan kesusahan.
“Emas boleh digadai pada waktu-waktu terdesak,” katanya.
Sementara itu, tukang cuci, Nur Yusrina Mohd Nor, 47, berkata, dia membeli sebentuk cincin emas untuk digayakan pada hari raya dan melihat emas sebagai simpanan yang tidak pernah rugi.
“Saya dapat duit kutu, terus datang beli emas. Kalau simpan sendiri duit tu, belum tentu dapat beli emas.
“Beli emas ni tak rugi, duit kita tu masih ada tapi dalam bentuk emas,” katanya.