LONDON – Ketegangan dalam keluarga Beckham kembali menjadi perhatian dunia selepas Brooklyn Beckham mendakwa hak terhadap namanya cuba dikawal oleh ibu bapanya, David dan Victoria Beckham – sekali gus membuka semula perbincangan mengenai bagaimana selebriti melindungi nama serta jenama keluarga mereka.
Dalam satu hantaran di Instagram yang mencetuskan sensasi global, anak sulung pasangan selebriti terkenal itu mendakwa keluarganya lebih mengutamakan strategi komersial dan penjenamaan, atau apa yang digelarnya sebagai “jenama Beckham.”
Brooklyn turut mendakwa bahawa dirinya pernah ditekan untuk “menandatangani hak ke atas namanya” sebelum berkahwin dengan Nicola Peltz pada tahun 2022, anak kepada bilionair terkenal, Nelson Peltz.
Rekod rasmi di United Kingdom menunjukkan nama keempat‑empat anak pasangan itu Brooklyn, Romeo, Cruz dan Harper Seven telah didaftarkan sebagai tanda dagang, dengan Victoria disenaraikan sebagai pemilik bagi pihak mereka ketika masih di bawah umur.
Brooklyn sendiri didaftarkan sebagai tanda dagang sejak 2016 ketika berusia 17 tahun, meliputi kategori produk seperti kosmetik, pakaian, mainan dan hiburan.
Pendaftaran itu dijangka tamat pada Disember tahun ini.
Adakah Brooklyn terikat dengan ‘jenama Beckham’?
Walaupun Brooklyn tidak memperincikan dokumen apa yang diminta untuk ditandatangani, pakar undang‑undang harta intelek menjelaskan bahawa pendaftaran tanda dagang memberi kuasa penuh kepada pemilik dalam hal penggunaan komersial nama tersebut.
Menurut peguam James Corlett, menjenamakan nama anak untuk kegunaan masa depan bukan sesuatu yang lazim, tetapi tidak pelik bagi keluarga selebriti berskala global seperti Beckham.
Corlett turut menjelaskan, apabila pendaftaran tanda dagang Brooklyn tamat kelak, beliau boleh membantah usaha pembaharuan oleh keluarga atau memohon tanda dagang baharu yang boleh digunakan secara bebas bergantung pada bagaimana nama itu telah digunakan selama ini.
Namun, perkara itu boleh berkonflik dengan tanda dagang sedia ada yang berkaitan nama “Beckham.”
Fenomena selebriti mendaftarkan nama mereka sebagai perlindungan komersial bukan perkara baharu.
Kylie Minogue pernah menentang permohonan Kylie Jenner untuk menanda dagang nama “Kylie” manakala penyanyi Katy Perry masih berdepan pertikaian panjang dengan pereka fesyen Australia yang menggunakan nama “Katie Perry.”
Walaupun keluarga Beckham belum memberi sebarang kenyataan rasmi terhadap tuduhan Brooklyn, laporan antarabangsa menyebut bahawa isu tanda dagang ini dikaitkan dengan ketegangan hubungan yang semakin ketara sejak beberapa tahun lalu - termasuk insiden melibatkan perancangan perkahwinan dan dakwaan campur tangan ibu bapa.
Selepas perkahwinan, Brooklyn menambah nama ‘Peltz’ pada namanya dan memasarkan produknya - termasuk sos pedas Cloud23 menggunakan panggilan BPB, seolah-olah menjarakkan diri daripada jenama keluarga asalnya. - Agensi/Awani