Chile musnah dijilat api

Iklan
Kebakaran hutan dahsyat yang melanda Chile memusnahkan rumah penduduk dan ramai yang tinggal sehelai sepinggang.

CONCEPCION - Kebakaran hutan dahsyat yang melanda Chile semakin reda meskipun kepulan asap yang menyesakkan nafas masih menyelubungi banyak kawasan.

Pihak berkuasa turut menahan empat individu dipercayai melakukan arson hingga meragut 21 nyawa dan memusnahkan kawasan seluas lebih 45,000 hektar.

Iklan
Iklan

Menteri Keselamatan, Luis Cordero berkata, kebakaran itu bermula di sebuah ladang gandum di Concepcion.

Api marak dengan cepat ketika kebakaran hutan di pekan Florida berhampiran bandar Concepcion pada awal minggu lalu.

Iklan

Angin kencang dan cuaca ekstrem telah menyebabkan api merebak dengan cepat di seluruh Biobio dan Nuble yang terletak kira-kira 500 kilometer (km) dari ibu kota Santiago pada Sabtu lalu.

Beberapa bandar pesisir termasuk Penco, Lirquen dan Punta de Parra turut musnah dijilat api.

Iklan

Menteri Dalam Negeri, Alvaro Elizalde menganggarkan kira-kira 20,000 penduduk berdepan kerugian harta benda yang besar berikutan 800 kediaman binasa sepenuhnya.

Penduduk bergotong-royong membersihkan kawasan kejiranan mereka selepas kebakaran reda.

Sementara itu, Presiden Gabriel Boric yang melawat Biobio berkata, jentera berat telah dikerahkan untuk operasi pembersihan memandangkan negara Amerika Selatan itu masih berada di bawah situasi darurat.

"Pembinaan semula akan dilancarkan sebaik sahaja operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa selesai serta bantuan perumahan dan kewangan kecemasan digerakkan. Kita sedang mempercepatkan projek ini, namun ada proses yang perlu dibereskan terlebih dahulu," jelasnya.

Sehingga Khamis, pasukan bomba masih berhempas-pulas mengawal 19 kebakaran di wilayah teruk terjejas di Araucania, Nuble dan Biobio.

Bagi meringankan beban penduduk, pemerintah bakal memberikan pampasan bermula AS$700 (RM2,800) hingga AS$1,500 (RM6,060) untuk setiap individu.

Kenderaan milik penduduk yang tidak sempat diselamatkan selepas kebakaran itu marak dengan cepat.

Penghantaran bantuan dikatakan telah mula tiba di kawasan terjejas selepas banyak mangsa mengeluh atas kelewatan sebelum ini.

"Keadaan amat huru-hara dan menyedihkan kerana kami hilang segala-galanya dalam sekelip mata," kata Doralisa Silva, 34.

Menurutnya, sebahagian besar bantuan dihulurkan komuniti setempat kerana pemerintah lambat bertindak.

Susulan kritikan orang ramai meningkat, Jose Antonio Kast yang bakal mengambil alih jawatan Presiden pada 11 Mac depan berikrar untuk memfokuskan usaha pembangunan semula di komuniti terjejas.

Ia disifatkan sebagai kebakaran hutan terburuk sejak tragedi sama di pusat peranginan Vina del Mar, terletak kira-kira 110km dari Santiago yang meragut 138 nyawa pada 2024.