PRK Kinabatangan, Lamag: PBS sokong calon BN, tiada kompromi ahli yang ingkar

Iklan
Joachim mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS pertama bagi tahun 2026, di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PBS, Penampang.

PENAMPANG - Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan ahlinya yang bercanggah dengan keputusan parti menyokong calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Perkara itu ditegaskan Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, yang menegaskan sokongan penuh parti terhadap kedua-dua calon BN yang akan bertanding esok.

Iklan
Iklan

"PBS kekal konsisten dalam pendirian politiknya dan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada calon BN dalam PRK DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan.

"Sekiranya terdapat mana-mana ahli yang ingkar atau bertindak bertentangan dengan arahan parti, perkara tersebut akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS pertama bagi tahun 2026, di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PBS, di sini, pada Jumaat.

Joachim turut berkata, PBS akan bekerjasama secara erat dengan jentera BN bagi memastikan kemenangan calon sekali gus mempertahankan kedua-dua kerusi tersebut.

Iklan

"Kerjasama ini adalah selari dengan semangat kestabilan politik serta sokongan terhadap Kerajaan Madani,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat AMT itu, beliau memaklumkan antara perkara dibincangkan ialah beberapa hala tuju strategik serta pelan tindakan (way forward) parti dalam memperkukuhkan peranan PBS sebagai sebuah parti tempatan yang relevan dan terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.

“PBS akan terus memainkan peranan konstruktif dalam landskap politik negeri dan persekutuan, serta memperkukuh kerjasama dalam gabungan demi kestabilan dan kemajuan Sabah,” katanya.