PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggariskan komitmen tinggi bagi memastikan pentadbiran undang-undang Islam di negara ini lebih seragam menerusi pengenalan model undang- undang Islam negeri serta inisiatif amalan peguam syarie merentasi negeri.
Ketika di Program Temubual Khas Bersama Pengarang Kanan Agensi Media, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah strategik ini merupakan antara agenda utama di bawah hala tuju ‘Islah’ dan ‘Tajdid’ JAKIM menjelang tahun 2026 bagi memastikan sistem keadilan syariah tidak lagi terbeban dengan isu perbezaan enakmen antara negeri.
Menurutnya, isu ketidakseragaman sebelum ini sering menjadi halangan besar kepada kelancaran proses perundangan dan penyelesaian isu-isu rakyat di mahkamah.
"JAKIM telah menyediakan satu model undang-undang untuk dijadikan panduan kepada semua negeri bagi tujuan penyeragaman dan Alhamdulillah perkara ini telah pun dipersetujui oleh pihak Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) serta mendapat perkenan Majlis Raja-Raja," katanya pada Jumaat.
Beliau menjelaskan bahawa model tersebut bukanlah bertujuan mengambil alih kuasa agama yang terletak di bawah bidang kuasa negeri, sebaliknya bertindak sebagai satu kerangka penyelarasan yang dipersetujui bersama demi kepentingan ummah.
"Proses pembangunan model ini dianggap sebagai satu pencapaian besar dalam diplomasi perundangan kerana berjaya mengharmonikan pandangan antara peringkat Persekutuan dan pihak berkuasa agama negeri," katanya.
Jelas beliau, beberapa model undang-undang yang disediakan JAKIM antaranya meliputi kekeluargaan dan pentadbiran Islam yang telah digunakan oleh Wilayah Persekutuan.
"Sebelum ini (negeri) agak kurang hendak terima namun selepas pembentangan di mesyuarat MKI baru-baru ini, alhamdulillah ia diterima dengan mudah. Tuanku Pengerusi MKI pun bersetuju untuk JAKIM menghasilkan model kemudian serahkan kepada negeri sebelum dibentangkan di mesyurat MKI untuk diperkenan Majlis Raja- Raja," jelas Sirajuddin.
Selain itu kekangan yang dihadapi oleh golongan peguam syarie untuk mengendalikan kes di luar negeri tempat mereka ditauliahkan bakal dinokhtahkan apabila ia turut menjadi fokus jabatan itu dalam usaha penyeragaman undang-undang.
Beliau berkata, JAKIM akan mewujudkan satu klausa di dalam enakmen negeri bagi membolehkan peguam syarie diterima di semua negeri.
"Sebagai contoh dalam kes tuntutan nafkah, isteri di Kelantan dan suami pula di Johor. Mereka hendak guna khidmat peguam mana?
"Perkara inilah yang cuba kita noktahkan. Kita sedang usahakan agar wujud satu klausa khusus dalam enakmen negeri bagi membolehkan 'penerimaan silang' atau cross-acceptance antara negeri-negeri," tambahnya lagi.
Menerusi mekanisme baharu ini, beliau berkata, peguam syarie yang ditauliahkan di satu negeri bakal mendapat pengiktirafan untuk beramal di negeri lain tanpa perlu melalui proses birokrasi pendaftaran yang rumit dan berulang.
Beliau menambah, langkah ini sangat penting bagi membantu rakyat menjimatkan kos guaman kerana mereka tidak lagi perlu membayar dua peguam berbeza untuk menguruskan satu kes yang sama.
"Peguam di Johor tidak boleh beraksi di Kelantan kerana dia hanya ditauliahkan di Johor. Terpaksa pula lantik peguam lain di Kelantan. ia menambah kos kepada rakyat," katanya sambil menekankan JAKIM mahu memastikan sistem perundangan Islam dilihat sebagai satu sistem yang memudahkan urusan masyarakat dan bukannya menyusahkan pihak-pihak yang sedang dalam pertikaian.