DAVOS -"Armada Amerika Syarikat (AS) sedang menuju ke Iran. Namun, saya berharap tidak akan menggunakannya."
Amaran baharu itu dibuat Presiden Donald Trump pada Khamis ketika retorik ugutan terhadap Teheran semakin meningkat meskipun gelombang protes ganas di negara tersebut sudah berakhir.
"Kami sudah mengerahkan banyak kapal perang dan sedang menilai situasi semasa," katanya dalam pesawat rasmi, Air Force One ketika kembali dari Davos.
Terdahulu, Washington mengesahkan kapal perang, USS Abraham Lincoln dan beberapa kapal pemusnah peluru berpandu dijangka tiba di perairan Asia Barat dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Seorang pegawai mendedahkan penghantaran sistem pertahanan udara tambahan ke rantau itu untuk menangkis serangan Teheran juga sedang dipertimbangkan.
Armada kapal perang itu dilaporkan mula berlayar dari Asia Pasifik pada minggu lalu, di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara AS dan Iran.
Trump berulang kali mengancam mahu melancarkan operasi ketenteraan kononnya untuk membela nasib penunjuk perasaan sedangkan ia hanyalah alasan untuk campur tangan dalam krisis di Teheran.
Sebagai respons terhadap ugutan itu, Ketua Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memberi amaran tegas supaya AS tidak tersilap langkah.
"Kami sentiasa siap siaga untuk bertindak balas dengan lebih agresif dan hanya menunggu arahan Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
"Musuh sepatutnya mengambil pengajaran ketika perang selama 12 hari pada Jun 2025," ujar Mejar Jeneral, Mohammad Pakpour. - Agensi