Kerajaan digesa tangani segera isu pemandu e-hailing

Iklan
Kegagalan menyelaraskan dasar didakwa menjadikan pemandu e-hailing mangsa kepada sistem yang tidak adil.

SHAH ALAM - Kerajaan digesa segera mengemukakan penyelesaian konkrit terhadap isu kritikal melibatkan pemandu e-hailing, khususnya kenaikan premium insurans, sistem tambang tidak adil serta aspek keselamatan dan perlindungan undang-undang pemandu.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, sehingga kini tiada keputusan jelas diumumkan meskipun pemandu e-hailing sering digambarkan sebagai tulang belakang industri pengangkutan awam negara.

Iklan
Iklan

Antara tuntutan paling mendesak adalah kenaikan mendadak premium insurans e-hailing yang didakwa mencecah 150 peratus, sekali gus meningkatkan kos operasi dan menjejaskan kelangsungan pendapatan pemandu.

"Pemandu terpaksa mengeluarkan premium insurans berganda iaitu insurans kenderaan serta insurans e-hailing yang boleh mencecah lebih RM2,000.

Iklan

"Oleh itu Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) digesa mendedahkan data dan statistik tuntutan yang telah diaudit secara bebas bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan dibuat secara telus, adil dan berasaskan fakta sahih," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu PPIM turut menuntut penjelasan mengenai penghapusan sistem tambang secara bidding serta penetapan tambang lantai perkhidmatan e-hailing yang didakwa mencetuskan perang harga dan menekan pendapatan pemandu.

Iklan

Sebelum ini menurutnya, Menteri Pengangkutan pada 11 Mei 2024 telah menegaskan tiada kebenaran pelaksanaan sistem tambang berkenaan, namun sehingga kini masih beroperasi.

"Timbul persoalan serius mengenai keberkesanan penguatkuasaan, kejelasan dasar serta kebertanggungjawaban agensi pelaksana terhadap arahan kementerian.

"Kegagalan menyelaraskan dasar dan pelaksanaan ini telah menjadikan pemandu e-hailing mangsa kepada sistem yang tidak adil, tidak terkawal dan berat sebelah," menurutntya.

Selain itu PPIM turut menuntut pelaksanaan wajib sistem pengesahan identiti digital (e-KYC) kepada pengguna e-hailing bagi menjamin keselamatan, kebajikan dan perlindungan undang-undang pemandu.

PPIM menegaskan, sistem berkenaan penting bagi mengurangkan risiko jenayah, penipuan, ugutan serta gangguan terhadap pemandu selain memastikan identiti pengguna dapat dikenal pasti dengan jelas.