10 ajaran sesat dalam radar JAKIM

Iklan
Temubual Khas Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee bersama Agensi Media Tempatan Berkaitan Hala Tuju 2026 Jakim di Blok A, Kompleks Islam Putrajaya pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan sekurang-kurangnya 10 ajaran sesat masih aktif dan berada dalam radar pemantauan pihak berkuasa agama di negara ini, termasuk sebahagiannya mempunyai kaitan serta pengaruh dari luar negara.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, kesemua ajaran terbabit dikesan beroperasi di Malaysia dan sedang dipantau secara berterusan dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri.

Iklan
Iklan

“Daripada maklumat yang diterima, jumlah ajaran sesat yang dikenal pasti ketika ini adalah sekitar 10 dan semuanya berada dalam negara, malah ada antaranya turut beroperasi di luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Temubual Khas Bersama Pengarang Kanan Agensi Media, di pejabatnya pada Jumaat.

Menurut beliau, corak pergerakan ajaran sesat lazimnya bermula di kawasan luar bandar sebelum menyusup masuk ke kawasan bandar bagi menarik pengikut baharu.

Iklan

“Biasanya mereka berkumpul di luar bandar dahulu, kemudian dibawa ke bandar. Ajaran ini juga tidak terikat dengan negeri tertentu kerana mereka akan beroperasi di lokasi yang dirasakan selamat dan mudah mendapatkan pengikut,” jelas Sirajuddin.

Ujar beliau, antara faktor utama masyarakat terpengaruh dengan ajaran sesat adalah keinginan untuk mencapai tahap kerohanian tertentu secara cepat tanpa melalui proses pembelajaran dan amalan agama yang betul.

Iklan

“Ada dalam kalangan mereka yang sebelum ini terleka dengan amalan agama, kemudian mencari jalan singkat untuk ‘cepat sampai’ ke makam yang lebih tinggi. Di situlah mereka mudah terjebak,” katanya.

Beliau berkata, cabaran terkini menyaksikan ajaran sesat bukan hanya bersifat tradisional malah turut menyamar dalam bentuk program motivasi, pembangunan diri serta modul kerohanian, sekali gus menyukarkan pengesanan awal.

“Ada ajaran yang datang dalam bentuk motivasi atau program tertentu, namun hakikatnya membawa fahaman yang menyeleweng. Perkara ini memang dalam radar JAKIM,” katanya.

Mengulas pendekatan penguatkuasaan Sirajuddin menegaskan JAKIM tidak hanya bergantung kepada tindakan tegas semata-mata, sebaliknya mengutamakan pendekatan harmoni dan mendamaikan bagi memastikan mesej dapat diterima semua lapisan masyarakat.

" Kalau apa yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, ada berapa ratus ajaran sesat yang masih beroperasi. Semalam (Khamis) kami berbincang dalam isu menangani ajaran sesat, ia bukan yang mudah kerana hari ini mungkin ada, esok hilang.

"Kadang-kadang amalan nampak serupa macam kita, tidak ketara, sekali gus wujud beban pembuktian. Jadi pendekatan yang kita bawa kali ini bukan bukanlah kata tidak membenteras tapi mengelakkan daripada mereka yang belum terpesong daripada mengikut ajaran-ajaran yang bercanggah dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Itu yang kita ketengahkan.

“Tindakan tegas tidak semestinya menyelesaikan masalah. Kadang-kadang pendekatan keras menyebabkan penolakan, walaupun terhadap pihak yang tidak terlibat. Sebab itu kita pilih pendekatan yang lebih berhemah, membetulkan yang terpesong dan menunjukkan jalan yang sebenar,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan masyarakat agar berhati-hati dengan lambakan pandangan agama di media sosial, termasuk fenomena ‘mufti Google’ dan ‘mufti TikTok’, yang sering mengeluarkan pandangan seolah-olah sudah menjadi hukum muktamad.

“Tidak semestinya apa yang berada di hujung jari itu benar. Rujuk kepada JAKIM atau pihak berkuasa agama negeri jika ada kekeliruan,” katanya.

Dalam usaha menangani penyebaran fahaman songsang di alam maya, beliau berkata JAKIM bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi berkaitan bagi memantau dan mengawal kandungan digital yang mencurigakan.

“Kita sedar cabaran ini sukar dikawal sepenuhnya, namun kerjasama pelbagai pihak amat penting untuk menyekat penyebaran dan pada masa sama menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat,” katanya.