SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan Kerajaan Madani menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas peringkat Kabinet bagi menangani isu pembinaan rumah ibadat tidak mematuhi undang-undang secara menyeluruh, berfakta dan berhemah.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, cadangan itu dibuat susulan perdebatan di Dewan Rakyat melibatkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, dan Ahli Parlimen Jelutong, R. S. N. Rayer berhubung isu berkenaan baru baru ini.
Menurut beliau, isu status tanah, kelulusan pembinaan serta bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan institusi agama perlu diselesaikan berteraskan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, bukan melalui retorik atau sentimen berpotensi meniup api perkauman.
“Parlimen bukan medan untuk mempolitikkan kegusaran rakyat, sebaliknya ruang untuk merangka dasar yang menenangkan dan melindungi keharmonian negara,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Wan Anwar berkata, cara isu itu dibangkitkan berisiko menjarakkan hubungan antara kaum serta mencetuskan kegusaran awam jika tidak ditangani secara matang dan berdisiplin.
Dalam masa sama beliau menegaskan, semua pemimpin tanpa mengira latar agama atau kaum mempunyai tanggungjawab untuk mendisiplinkan komuniti masing-masing supaya mematuhi undang-undang.
“Sebarang pembelaan terhadap binaan rumah ibadat yang tidak patuh peraturan hanya akan memanjangkan polemik dan menghakis kepercayaan terhadap institusi negara,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan tragedi di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield yang mengorbankan Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai peringatan bahawa kegagalan mengurus isu pentadbiran dengan baik boleh membawa insiden tragis.
Mengulas lanjut Wan Anwar berkata, sejarah menunjukkan masjid dan surau pernah dirobohkan atau dipindahkan atas sebab undang-undang, termasuk kerana dibina di atas tanah kerajaan atau tanpa kelulusan.
Tambahnya, keputusan tegas kerajaan ketika itu akhirnya diterima majoriti umat Islam demi menghormati kedaulatan undang-undang.
“Prinsip yang sama mesti diterapkan secara konsisten dan adil kepada semua rumah ibadat,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan jawatankuasa khas berkenaan menetapkan kerangka nasional yang jelas merangkumi klasifikasi kes, pilihan penyelesaian sebelum penguatkuasaan, mekanisme mediasi serta disiplin komunikasi, supaya isu pentadbiran tidak terus diperalatkan sehingga mencetuskan konflik perkauman.
Wan Anwar berkata, Amanah berpegang teguh bahawa keharmonian negara hanya dapat dipelihara melalui keadilan undang-undang, konsistensi dasar dan kematangan politik.
“Malaysia memerlukan kepimpinan yang menenangkan dan menyatukan, bukannya menghasut sehingga berisiko menjejaskan perpaduan negara.
“Komitmen menyelesaikan isu ini berpaksikan undang-undang adalah tanggungjawab bersama,” tambahnya.