SHAH ALAM - Pas Selangor menegaskan pembangunan mampan tidak boleh diukur semata-mata melalui label moden atau berteknologi tinggi khususnya dalam isu ladang penternakan babi yang berisiko tinggi mencetuskan pencemaran alam sekitar.
Pesuruhjayanya, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, kemajuan ekonomi dan perlindungan alam sekitar mesti bergerak seiring dan tidak boleh saling mengorbankan.
Menurutnya, kajian penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) di Kampung Selamat, Pulau Pinang yang diterbitkan pada tahun lalu mendapati air buangan daripada 66 ladang babi dan sebuah rumah sembelih berada pada tahap pencemaran serius.
"Kajian itu mengenal pasti tiga pencemar utama iaitu Ammoniacal Nitrogen (AN) yang menjadi punca bau busuk dan bersifat toksik, Biochemical Oxygen Demand (BOD) yang menunjukkan kandungan sisa organik tinggi serta Chemical Oxygen Demand (COD) yang menandakan pencemaran kimia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ab Halim berkata, majoriti ladang terbabit gagal mematuhi Standard B di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 apabila pada September 2024, sebanyak 60 ladang atau kira-kira 84 peratus melebihi had AN, selain 46 ladang melebihi had BOD dan 30 ladang melebihi had COD.
"Keadaan itu masih berlarutan pada November 2024 apabila 51 ladang atau sekitar 76 peratus masih melebihi had AN, 40 ladang melebihi had BOD dan 21 ladang melebihi had COD," jelas beliau.
Menurut Ab Halim, dapatan itu menunjukkan hampir semua ladang mencemarkan air khususnya dari segi ammonia, malah analisis statistik membuktikan sistem tertutup atau close-house tidak menjamin pencemaran lebih rendah.
Beliau menjelaskan, punca sebenar ialah kelemahan pengurusan kolam rawatan, penyelenggaraan ladang serta pengendalian sisa sekali gus membuktikan penukaran sistem tanpa kawalan dan penguatkuasaan tegas tidak menyelesaikan masalah.
Beliau menegaskan, pendekatan saintifik dan teknologi sememangnya mampu meningkatkan produktiviti, namun ia tidak menjamin keselamatan alam sekitar jika tidak disertai kawalan, ketelusan dan akauntabiliti.
"Model pembangunan berskala besar dan berpusat membawa risiko tinggi. Jika berlaku kegagalan sistem rawatan atau kecuaian operasi, kesannya besar dan akhirnya ditanggung oleh rakyat sekitar," ujarnya.
Menurut Ab Halim, kegagalan tadbir urus turut memberi kesan langsung termasuk pencemaran sungai dan sumber air, gangguan bau, risiko kesihatan awam, ketegangan antara komuniti serta hilangnya kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Beliau berkata, Pas Selangor menawarkan pendekatan jalan tengah berasaskan bukti dan kepentingan rakyat antaranya melalui pelaksanaan audit alam sekitar secara bebas dan berkala serta mensyaratkan lesen operasi kepada pematuhan sebenar di lapangan.
Beliau mencadangkan, mekanisme penggantungan atau pembatalan lesen secara automatik diwujudkan sekiranya berlaku ketidakpatuhan berulang, selain penetapan Petunjuk Prestasi Alam Sekitar (EPI) yang jelas, boleh diukur dan telus.
"Pematuhan piawaian alam sekitar mesti menjadi syarat utama kelangsungan operasi, bukan isu sampingan yang hanya diberi perhatian apabila berlaku krisis,” katanya.
Beliau menjelaskan, semua cadangan itu perlu diperincikan melalui pindaan Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991 yang kali terakhir dipinda pada 2010 termasuk mewajibkan kaedah Modern Pig Farming (MPF), mengenakan tindakan tegas serta hukuman tinggi terhadap pencemaran dan kos pemulihan ditanggung sepenuhnya oleh penternak.
"Pendekatan saintifik perlu digunakan secara beretika dan bertanggungjawab.
"Teknologi mesti menjadi alat melindungi rakyat, bukan alasan menutup kelemahan sistem,” katanya.