Pas persoal Selangor gagal kuat kuasa isu pencemaran ladang babi Tanjung Sepat

Iklan
Yusfarizal

KUALA LUMPUR - Pas Selangor mempersoalkan kegagalan kerajaan negeri menguatkuasakan undang-undang sedia ada berhubung isu pencemaran ladang penternakan babi di Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat meskipun bukti pencemaran didakwa berlaku secara jelas sejak puluhan tahun lalu.

Ketua Penerangannya, Dr Yusfarizal Yussoff berkata, Enakmen Pengawalan Penternakan Babi Negeri Selangor 1991 secara khusus melalui Seksyen 19 memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengarahkan penutupan ladang serta-merta sekiranya kes pencemaran dibawa ke peringkat perundangan.

Iklan
Iklan

"Persoalan besar ialah mengapa peruntukan undang-undang ini tidak digunakan walaupun keadaan pencemaran boleh dilihat dengan mata kasar termasuk sistem saliran berwarna hitam, berkeladak serta bau busuk yang amat meloyakan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Yusfarizal, tinjauan media dan Pas di kawasan itu pada Rabu jelas membuktikan pencemaran alam sekitar masih berlaku, sekali gus mencetuskan kegusaran penduduk yang mengharapkan tindakan tegas kerajaan negeri.

Iklan

Beliau menegaskan, situasi itu sepatutnya sudah memadai untuk membawa kes ke mahkamah bagi mendapatkan perintah penutupan segera.

"Walaupun sudah ada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya pemindahan disegerakan, keadaan di Tanjung Sepat masih tidak berubah dan rakyat tidak nampak sebarang perkembangan jelas sama ada dari segi penutupan, pemindahan atau pelan pelaksanaan,” katanya.

Iklan

Mengulas cadangan pemindahan ladang babi ke Bukit Tagar, Hulu Selangor, Yusfarizal berkata, rakyat masih menunggu jaminan konkrit berhubung kaedah pemindahan, penggunaan tanah seluas kira-kira 202 hektar serta keupayaan projek itu untuk benar-benar mencegah pencemaran alam sekitar.

Beliau turut mempersoalkan cadangan kerajaan Selangor menjadikan Pulau Pinang sebagai model rujukan dengan mendakwa beberapa lokasi di negeri itu masih berdepan masalah saliran tercemar dan bau, walaupun konsep ladang tertutup serta teknologi biogas diperkenalkan.

"Jika model yang ditiru masih gagal menyelesaikan masalah asas, kita bimbang kegagalan sama akan berulang di Bukit Tagar yang berhampiran loji rawatan air," tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri supaya mencari tapak alternatif yang lebih sesuai serta menjalankan kajian menyeluruh termasuk Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Kesan Sosial (SIA) sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Dalam masa sama, Yusfarizal menyifatkan cadangan mengurangkan penternakan tempatan dan meningkatkan import daging babi sebagai idea munasabah, namun perlu diteliti dari sudut kos serta kesan terhadap harga, selain memastikan keadilan kepada keperluan masyarakat bukan Islam tanpa berkompromi terhadap perlindungan alam sekitar.

"Keutamaan ketika ini ialah dua perkara iaitu tindakan segera terhadap ladang sedia ada di Tanjung Sepat dan pemilihan lokasi baharu yang benar-benar selamat serta diyakini rakyat," tambah beliau.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, air berwarna hitam pekat dan berbau busuk dikesan mengalir dari kawasan kandang babi ke parit utama di Kampung Tumbuk Darat, Tanjung Sepat Kuala Langat, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk terhadap tahap pencemaran alam sekitar di kawasan berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati sisa cecair atau efluen dari ladang babi itu dilepaskan melalui paip bersaiz besar sebelum bertakung di sebuah kawasan pembuangan yang menyerupai kolam kumbahan tidak terurus.