Ejen kilang e-waste haram didakwa rasuah pegawai JAS RM50,000

Iklan
Tertuduh ketika dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat.

SEREMBAN - Ejen kilang yang menjalankan operasi pelupusan sisa elektronik (e-waste) secara haram mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM50,000 kepada pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Tertuduh, Soon Kein Chong, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N Kanageswari selepas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara rasuah memberikan suapan wang tunai RM50,000 kepada pegawai JAS sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

Ia selepas tertuduh disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeling 1974 [Akta 127] iaitu tidak mempunyai lesen premis, tiada kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah, tiada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan larangan menempatkan buangan terjadual di premis yang tidak ditetapkan.

Iklan

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 1 tengah hari di Jalan Zamrud, Kawasan Perindustrian Nilai, pada 12 Februari tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua syarat tambahan.

Peguam, Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh bersetuju dengan jumlah jaminan berkenaan selain memaklumkan anak guamnya tiada pasport antarabangsa dan bersedia melaporkan diri di Pejabat SPRM di Seremban setiap bulan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 12 Februari.