AMPANG – Seorang lelaki tempatan dipercayai membuat laporan palsu mendakwa disamun bagi mengelak membayar semula wang milik majikannya di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, berkata, lelaki itu tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada jam 10.06 pagi, mendakwa disamun dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna merah di Jalan Tanjong 1 di sini.
Iklan
Iklan
"Pengadu mendakwa pembonceng motosikal terbabit mengacukan sebilah pisau ke arah pinggang sebelum melarikan beg silang yang diletakkan di dalam raga motosikal miliknya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Khairul Anuar berkata, hasil siasatan yang dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah hari hari sama mendapati, kejadian samun tersebut tidak pernah berlaku dan laporan yang dibuat adalah palsu.
“Siasatan mendapati dakwaan barangan peribadi serta wang tunai milik majikannya berjumlah RM5,000 dirampas adalah tidak benar.
"Motifnya mengelak bayar duit majikan, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," ujarnya.