PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan kemasukan Tahun 1 bermula pada usia enam tahun manakala prasekolah pada usia lima tahun wajar disambut secara positif kerana ia mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan dan perkembangan kanak-kanak.
Pendekatan ini juga selari dengan amalan pendidikan antarabangsa yang umumnya memulakan pendidikan formal apabila kanak-kanak lebih stabil dari segi kematangan emosi, sosial dan keupayaan tumpuan.
Malah, berdasarkan laporan Education at a Glance 2025 dari Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) 2025, kebanyakan kanak-kanak berumur tiga hingga lima tahun (85 peratus) mengikuti program pendidikan awal kanak-kanak (ECE) di seluruh negara OECD.
Laporan tersebut turut melaporkan bahawa umur kemasukan pendidikan rendah di kebanyakan negara OECD lazimnya berada dalam julat lima hingga tujuh tahun.
Justeru, pendekatan kerajaan memulakan kemasukan Tahun 1 secara pilihan dari ibubapa dan saringan awal oleh KPM pada usia enam tahun serta menggalakkan prasekolah pada usia lima tahun adalah selari dengan trend antarabangsa.
Jelas, ini memberi ruang kepada kanak-kanak untuk membina asas perkembangan yang lebih kukuh untuk transisi pembelajaran formal yang lebih berstruktur di sekolah.
Kesediaan ke sekolah pula bukan hanya ditentukan oleh umur, tetapi merangkumi pelbagai aspek perkembangan yang saling berkait.
Perkembangan kognitif, bahasa dan komunikasi, fizikal, serta sosial-emosi seperti tumpuan, pengurusan diri, kebolehan berinteraksi dan kemampuan mengikuti rutin kelas perlu diberikan perhatian oleh ibu bapa dan guru.
Hal ini penting kerana kanak-kanak pada usia enam tahun secara umumnya mempunyai daya tumpuan yang semakin baik, lebih mampu mengikuti arahan berstruktur, serta lebih bersedia untuk belajar dalam persekitaran formal.
Kemasukan Tahun 1 pada usia enam tahun bukan sahaja praktikal dan progresif, malah memberi ruang kepada kanak-kanak untuk membina asas perkembangan lebih kukuh melalui pengalaman bermain, interaksi sosial, pengayaan bahasa dan pembentukan regulasi emosi.
Penyelidikan perkembangan dan pendidikan awal kanak-kanak membuktikan bahawa kemahiran kesediaan ke sekolah yang diukur seawal usia empat tahun mempunyai pengaruh jangka panjang terhadap prestasi sekolah sehingga Tahun 5.
Satu kajian longitudinal pada tahun 2021 di Amerika Syarikat oleh Ricciardi, Manfra, Hartman, Bleiker Dineheart dan Winsler melibatkan 33,717 di kanak-kanak daripada latar sosioekonomi rendah dan populasi pelbagai etnik mendapati kemahiran kognitif, bahasa, motor halus, motor kasar dan sosial-emosi pada usia empat tahun berkait secara signifikan dengan keputusan akademik kemudian, termasuk GPA, skor ujian piawai serta risiko pengulangan tahun dan penggantungan sekolah.
Kajian yang sama juga menunjukkan kemahiran sosial-emosi di prasekolah berkait secara konsisten dengan pencapaian dari Tadika hingga Tahun 5, sekali gus menegaskan bahawa kesediaan ke sekolah bukan hanya bermaksud boleh membaca awal, tetapi juga kebolehan mengurus emosi dan tingkah laku dalam persekitaran pembelajaran.
Pendekatan kerajaan yang memberi penekanan kepada kesediaan psikologi dan emosi juga sangat bertepatan kerana pengalaman awal persekolahan kanak-kanak akan membentuk persepsi mereka terhadap sekolah untuk jangka panjang.
Peluang kanak-kanak yang memasuki Tahun 1 memberi masa kepada ibu bapa, pendidik dan sistem untuk membuat persiapan yang rapi.
Ini membolehkan transisi berlaku secara lebih harmoni dan mengurangkan risiko anak mengalami tekanan, hilang keyakinan atau kurang minat belajar pada peringkat awal persekolahan.
Sehubungan itu, beberapa langkah sokongan praktikal boleh digerakkan untuk menjayakan hasrat kerajaan yang progresif ini.
Pertama, literasi keibubapaan perlu diperkasa supaya ibu bapa memahami asas perkembangan dan indikator kesediaan ke sekolah.
Kedua, guru taska dan tadika perlu terus diperkukuh dengan latihan berstruktur dan kompetensi berasaskan perkembangan agar pengajaran dan interaksi harian lebih kaya dengan rangsangan bahasa, pemikiran dan emosi positif.
Ketiga, sekolah rendah juga boleh memperluas pendekatan transisi yang mesra kanak-kanak melalui orientasi berperingkat, rutin stabil, sokongan emosi dan strategi adaptasi untuk murid yang masih membina kawalan diri dan tumpuan.
Keempat, kerjasama antara sekolah, komuniti dan agensi berkaitan boleh diperkukuh bagi memastikan semua kanak-kanak, termasuk yang memerlukan sokongan tambahan, mendapat intervensi awal yang sesuai sebelum memasuki Tahun 1.
Kelima, masyarakat juga perlu menyokong bahawa pencapaian anak tidak hanya diukur melalui kebolehan akademik awal, sebaliknya dinilai melalui perkembangan menyeluruh yang lebih membina kejayaan jangka panjang.
Kesimpulannya, pengumuman kerajaan ini memberi hala tuju yang jelas dan progresif untuk memperkukuh pendidikan awal negara.
Kemasukan Tahun 1 pada usia enam tahun bukan sahaja selari dengan amalan global, malah memberi ruang untuk kanak-kanak membina asas perkembangan yang kukuh, manakala galakan prasekolah usia lima tahun pula berfungsi sebagai landasan persediaan sebelum mereka memasuki pendidikan rendah.
Kesediaan ke sekolah ialah tanggungjawab bersama, ibu bapa sebagai pemangkin rangsangan awal, pendidik sebagai pembimbing perkembangan, dan sistem sebagai penyokong melalui dasar, latihan serta pemantauan berasaskan data.
Dengan pendekatan menyeluruh dan kerjasama semua pihak, Malaysia bukan sahaja memastikan kanak-kanak masuk sekolah pada usia yang tepat, tetapi masuk sekolah dalam keadaan bersedia, yakin dan sejahtera untuk berjaya.
* Profesor Madya Dr Mazlina Che Mustafa ialah Pengarah, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris