ALGIERS - Tular rakaman memaparkan Gurun Sahara yang merupakan kawasan padang pasir paling panas di dunia dilitupi salji.
Fenomena luar biasa itu dikatakan terjadi di beberapa bahagian utara Algeria pada akhir minggu lalu.
Peristiwa jarang berlaku itu dirakamkan di kawasan berhampiran An Sfra, sebuah bandar di pinggir utara Sahara yang diberi julukan 'pintu gerbang ke gurun'.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku kerana lonjakan udara sejuk yang bergerak ke selatan Afrika Utara.
Jisim udara sejuk boleh menyebar keluar dari Eropah dan Mediterranean ketika musim sejuk.
Pada pertengahan Januari, keadaan sedemikian menyebabkan suhu di utara Algiers hampir atau di bawah paras beku.
Pada masa yang sama, udara lembap dari Lautan Atlantik dan Mediterranean dibawa ke daratan.
Apabila udara yang sarat dengan kelembapan ini bertembung dengan udara lebih sejuk, ia akan mencetuskan salji di pinggir utara Sahara.
Difahamkan, Ain Sefra pernah dilanda salji pada 1979, 2018, 2021 dan 2023 yang mana fenomena itu berlaku dalam waktu singkat atau berterusan selama beberapa hari.
Saintis menjelaskan perubahan iklim bukanlah faktor tunggal menyebabkan fenomena tersebut meskipun pemanasan di Artik boleh mencetuskan cuaca ekstrem di tempat yang luar biasa. - Agensi