Helikopter EC 725AP terbangkan dua pesakit dari Pulau Tioman ke HTAA

Iklan
Helikopter TUDM jenis EC 725AP dari No 10 Skuadron digunakan untuk penerbangan ehsan membawa dua pesakit dari Pulau Tioman ke HTAA pada Khamis. Foto Facebook TUDM

KUANTAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan ehsan membawa dua pesakit yang memerlukan rawatan segera dari Pulau Tioman ke Hospital Tunku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Khamis.

TUDM menjelaskan, pesakit terlibat, Nurshuhada Abdul Halim, 33, mengalami kandungan luar rahim manakala Rodzi Sham Hussin, 55, mengalami kegagalan jantung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, helikopter jenis EC 725AP dari No 10 Skuadron berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan di sini jam 5 petang membawa bersama dua pegawai perubatan dan seorang pembantu perubatan.

"Penerbangan diketuai Mejar Shamie Hazim Samsu dan Kapten Ismail Mohd Said tiba di Pulau Tioman jam 6.15 petang.

Iklan

"Selepas mengambil dua pesakit itu, pesawat berlepas semula ke Kuantan jam 6.30 petang dan tiba kira-kira sejam kemudiannya," katanya melalui satu kenyataan di Facebook.

Jelas kenyataan itu, kedua-dua pesakit kemudiannya terus dibawa ke HTAA menaiki ambulans.

Iklan
Pesakit dibawa menaiki helikopter TUDM untuk dibawa ke HTAA. Foto Facebook TUDM

Sementara itu ujarnya, selaras dengan peranan teras dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan ruang udara negara, pelaksanaan penerbangan ehsan tersebut juga mencerminkan keupayaan serta kesiapsiagaan TUDM dalam mengimbangi tuntutan operasi ketenteraan serta tanggungjawab sosial.

Menurutnya, inisiatif itu memperlihatkan komitmen berterusan TUDM dalam menyokong kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan Operasi Ketenteraan Selain Peperangan (MOOTW) yang digariskan dalam peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Seluruh warga TUDM mendoakan semoga kedua-dua pesakit dipermudahkan segala urusan rawatan dan dijauhkan daripada segala kemudaratan serta diberikan kesembuhan," ujarnya.