SHAH ALAM - Landskap politik negara menjelang pilihan raya akan datang dijangka terus dicorakkan dengan politik identiti sama ada berasaskan etnik, kelas sosial atau kenegerian.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, pendekatan tersebut masih menjadi strategi utama sesetengah pihak kerana ia mudah membangkitkan emosi dan sentimen dalam kalangan pengundi khususnya ketika persaingan politik semakin sengit.
“Nilai itu akan terus digunakan sebagai propaganda atau provokasi politik untuk membolehkan ia diserap masuk dalam emosi masyarakat.
“Bagi saya masyarakat juga harus memainkan tanggungjawab mereka. Sudah tiba masa masyarakat perlu rasional, waras dan boleh menyaring informasi mengikut penelitian mereka dalam melihat apa kriteria perlu ada pada pemimpin negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Program Meja Bulat: Malaysia 2025 Dan Wajah 2026 Yang Kita Impikan anjuran Sinar Harian pada Khamis.
Turut menjadi panel ialah Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA), Naguib Mohd Nor; ahli ekonomi dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Asan Ali Golam Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari manakala Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Anuar Ahmad bertindak selaku hos program.
Sivamurugan berkata, generasi masa kini semakin menekankan keperluan agar dasar dan tawaran politik mampu menjawab isu sebenar yang mereka hadapi dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, dalam konteks politik semasa, persoalan utama bukan lagi siapa yang paling lantang membawa sentimen tertentu, sebaliknya sejauh mana parti dan pemimpin mampu menawarkan penyelesaian yang realistik dan mampan kepada masyarakat.
“Apabila literasi politik semakin meningkat, maka jangkaan dan harapan rakyat juga semakin tinggi.
“Dalam keadaan seperti itu, sudah pasti pihak politik kepartian juga perlu memikul tanggungjawab dalam mengangkat dan menterjemahkan agenda besar mereka,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan Undi18 menuntut perubahan pendekatan politik terhadap golongan muda.
“Apabila Undi18 diperkenalkan, sejauh mana kita mendampingi mereka, kita tidak mahu berada dalam kepompong di mana kita hidup berdampingan tetapi berasingan.
“Jadi Undi18 itu penting. Bagaimana kelompok yang berada dalam jurang antara umur 18 hingga 30 tahun itu didengar suara mereka dengan lebih baik.
“Sudah tiba masanya, saya rasa perlu ada perubahan pemikiran dalam penerimaan ke atas golongan seperti ini,” kata beliau.