SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memberi penjelasan secara keseluruhan mengenai kemasukan awal kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kerajaan perlu mempunyai rancangan jelas berhubung dasar tersebut bagi memastikan pelaksanaannya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa, guru serta pihak sekolah.
“Biasanya sewaktu di KPM, setiap dasar besar ini kita akan adakan sidang media siap dengan pembentangan secara keseluruhan tentang apa yang hendak dilaksanakan.
“Jadi hendak buat sistem binaan berindustri (IBS) dan sebagainya, itu perancangan. Apa yang paling penting bagi kita, adalah lebih elok kerajaan rancangkan betul-betul dulu.
“Rancang dengan elok dan kemudian bentangkan kepada rakyat, apa yang hendak dilaksanakan supaya akses (terhadap pendidikan) itu adalah saksama,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan kemasukan awal kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu akan dilaksanakan secara fleksibel, bukan bersifat wajib dan hanya melibatkan ibu bapa serta murid yang telah bersedia.
Beliau berkata, ibu bapa perlu menilai kesediaan anak-anak mereka sebelum pendaftaran ke sekolah, manakala KPM akan menjalankan ujian diagnostik untuk mengenal pasti tahap asas pendidikan dan keperluan khusus setiap murid.
Mohd Radzi turut menyentuh mengenai ujian diagnostik yang dilaksanakan oleh KPM bagi mengenal pasti tahap asas pendidikan dan keperluan khusus murid untuk kemasukan tersebut.
Ujar beliau, masih ramai masyarakat yang belum memahami secara jelas berkenaan inisiatif kerajaan itu.
“Ini persoalan yang paling banyak ditanya di luar sana, apakah bentuk ujian yang hendak dilaksanakan?
“Kalau ujian itu hendak dilaksanakan untuk masuk tahun satu, umur enam tahun adakah bermakna ujian itu dilaksanakan pada umur lima tahun?” soalnya.
Ujar beliau, pada tahun lalu, seramai kira-kira 440,000 murid membentuk kohort tahun satu di seluruh negara.
“Katakan kelas yang cukup ramai 40 orang satu kelas. Kita lihat jumlah kelas yang diperlukan adalah sekitar 10,000 buah kelas untuk memenuhi 400,000 orang ini.
“Kita tidak mahu wujud keadaan di mana ibu bapa membandingkan anak mereka yang telah memasuki tahun satu pada usia enam tahun dengan keluarga lain.
“Kita tidak mahu wujud keadaan di mana mungkin kena ada tuisyen pula untuk ujian ini,” ujarnya.