Laksana pemisahan kuasa secara terbuka

Iklan
Aira

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa kerajaan memastikan proses pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan secara terbuka dan telus.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, langkah itu amat penting bagi memperkukuh integriti dan ketelusan institusi negara, selain mengelakkan konflik kepentingan dalam setiap keputusan yang dibuat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana ia merupakan satu inisiatif besar yang bukan sahaja melibatkan pindaan Perlembagaan, malah turut menyentuh peranan Peguam Negara.

"Bagi memisahkan dua peranan itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilaksanakan.

Iklan

"Kekuatan Kerajaan Madani mempunyai sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen, saya rasa tiada masalah besar untuk merealisasikannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Program Meja Bulat: Malaysia 2025 Dan Wajah 2026 Yang Kita Impikan anjuran Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Turut menjadi panel ialah Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA), Naguib Mohd Nor; penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian dan ahli ekonomi dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Asan Ali Golam Hassan, manakala Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Anuar Ahmad bertindak selaku hos program.

Mengimbas kembali krisis 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2015, Aira berkata, pemecatan Tan Sri Abdul Gani Patail selaku Peguam Negara ketika itu mencetuskan kekecohan besar.

"Ini saya rasa dan menunjukkan bahawa peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara itu kalau tidak dipisahkan ia bahaya kepada krisis kepercayaan rakyat. Sebab ada persepsi dua darjat.

"Kalau sebagai rakyat biasa yang tidak punyai pengaruh kuat, tiada apa-apa jawatan dalam politik atau ekonomi negara maka sistem keadilan itu tidak mampu untuk membela mereka," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut membangkitkan isu Akta Pendanaan Politik yang merupakan antara janji utama dalam manifesto Pakatan Harapan pada 2018.

Walaupun pelbagai kajian dan sesi libat urus telah dilaksanakan, beliau mengakui terdapat kesukaran mendapatkan persetujuan kelas politik.

"Tidak dinafikan banyak kajian dan libat urus telah dilakukan, bukan saya kata tiada inisiatif namun saya boleh rasakan sukar untuk mendapat persetujuan kerana ia merupakan satu reformasi besar yang bakal mengubah landskap politik negara,” katanya.