SHAH ALAM - Kelewatan perubahan struktur ekonomi berstatus 'middle income trap' menyebabkan Malaysia ketinggalan berbanding negara lain seperti Korea Selatan.
Ahli ekonomi dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Asan Ali Golam Hassan berkata, pada era 1970-an dan 1980-an, Korea Selatan berada pada tahap pembangunan hampir setara dengan Malaysia, namun negara itu berubah pantas kerana dasar teknologi dan buruh yang jelas serta konsisten.
Sebaliknya beliau berkata, Malaysia gagal mempunyai dasar buruh tegas dan hala tuju teknologi yang kukuh.
"Sektor teknologi maklumat (IT) negara berkembang dengan agak perlahan, sedangkan isu ini telah dikenal pasti sejak 2008. Ekonomi negara mula terperangkap dalam kebergantungan terhadap buruh murah, manakala kadar inovasi dan penggunaan teknologi bergerak terlalu perlahan.
"Keadaan ini turut menjadi antara faktor utama kegagalan Malaysia mencapai Wawasan 2020 yang dirangka sejak Februari 1991. Walaupun perubahan ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan sering disebut, pelaksanaannya tidak konsisten dan kurang berkesan.
"Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), kerajaan telah menyatakan dengan jelas bahawa pengambilan buruh asing akan dikurangkan secara beransur-ansur dan digantikan dengan teknologi. Namun realitinya, jumlah buruh asing terus meningkat saban tahun, sekali gus menunjukkan ekonomi negara masih berorientasikan buruh berbanding teknologi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Program Meja Bulat: Malaysia 2025 Dan Wajah 2026 Yang Kita Impikan anjuran Sinar Harian pada Khamis.
Turut menjadi panel ialah Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA), Naguib Mohd Nor; penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian dan Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari manakala Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Anuar Ahmad bertindak selaku hos program.
Tambah Asan Ali, walaupun penggunaan buruh asing adalah perkara biasa di kebanyakan negara termasuk negara maju tetapi kebiasaannya ia tertumpu kepada sektor tertentu sahaja.
Jelasnya, berbeza di Malaysia, buruh asing digunakan secara meluas merentasi hampir semua sektor, mencerminkan ketiadaan dasar yang jelas dan tegas.
"Akibatnya, pelaburan dalam teknologi kekal perlahan, penggunaan IT lemah dan produktiviti negara meningkat pada kadar rendah. Keadaan ini secara langsung menjejaskan pertumbuhan upah kerana gaji tidak boleh dinaikkan secara mendadak tanpa peningkatan produktiviti.
"Sekiranya gaji dinaikkan tanpa sokongan produktiviti, kesannya akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, seterusnya mencetuskan tekanan inflasi yang serius.
"Oleh itu, harapan utama pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang ialah peningkatan produktiviti nasional agar kenaikan gaji dapat berlaku secara mampan dan seimbang," ulasnya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat sektor kerajaan dan swasta perlu meningkatkan perbelanjaan dalam sektor IT dan teknologi.