KINABATANGAN - Peruntukan pembangunan luar bandar tertinggi kepada Sabah di bawah Belanjawan 2026 membuktikan komitmen Kerajaan Madani untuk terus memberi keutamaan kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar, tanpa meminggirkan negeri berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan berkenaan merangkumi pelbagai inisiatif bagi pembangunan desa termasuk pendidikan, latihan kemahiran, infrastruktur asas serta pemerkasaan sosioekonomi komuniti di kawasan pedalaman.
Beliau menegaskan tumpuan itu selari dengan tanggungjawab Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajuinya, dalam memastikan pembangunan lebih seimbang, khususnya di kawasan yang sebelum ini menghadapi kekangan akses kepada kemudahan asas dan peluang ekonomi.
"Saya akan berkoordinasi dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang, bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Desa@Kuamut di Dataran Tongod, yang turut dihadiri Jafry dan Masiung.
Di bawah Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 10 Okt tahun lalu, Sabah menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM6.9 bilion.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa kemudahan pendidikan luar bandar, khususnya kelas di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di kawasan Kuamut dan Tongod, akan terus diberi perhatian bagi memastikan prasarana sedia ada dipertingkatkan.
Selain itu, beliau berkata, program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) turut menjadi antara fokus utama KKDW bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan belia di luar bandar untuk meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan.
"Pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah kementerian akan diselaraskan bersama kepimpinan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap peruntukan dapat dimanfaatkan secara berkesan oleh rakyat,” katanya. - Bernama