KOTA BHARU - Seorang lelaki bergelar Tan Sri direman empat hari bermula Khamis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan bernilai lebih RM300 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, selain itu seorang wanita berusia 50-an yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah syarikat dimiliki lelaki kenamaan ini turut ditahan.
"Tan Sri berusia 60-an itu ditahan pada Rabu. Manakala wanita terbabit pada Selasa.
"Kita tahan Tan Sri itu semasa beliau hadir ke pejabat dan proses rakaman percakapan beliau sebagai orang yang ditahan," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau merasmikan Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di Hotel Grand Riverview di sini.
Menurut beliau, lelaki ini dipercayai terlibat dalam penipuan berskala besar dan melibatkan ramai yang melabur mengalami kerugian jutaan ringgit.
Ujarnya, syarikat ini dikatakan berpengkalan di Kuala Lumpur dan melibatkan pelabur dari seluruh negara.
"Tan Sri ini dipercayai menawarkan pelaburan wang dan telah salah guna wang tersebut mungkin ke akaun sendiri atau sebagainya, itu yang kami sudah dapat maklumat. Kami akan menjalankan tindakan penyiasatan yang lebih detail lagi.
"Pelaburan ini sudah berlaku dua tahun lepas. Pelaburan pelbagai, yang menjanjikan pulangan tinggi," katanya.
Beliau percaya kes ini akan melibatkan juga kesalahan undang-undang lain di bawah 'Security Commission' dan sebagainya.
"Kes sebegini kita namakan sebagai isu-isu jenayah ekonomi. Sekarang saya banyak menyebut tentang jenayah kewangan," katanya.