KOTA TINGGI – Beberapa langkah keselamatan segera dilaksanakan susulan kejadian serangan gajah liar yang mencederakan seorang pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Perani di sini pada Selasa.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, tindakan itu diambil hasil perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi.
“Langkah keselamatan berkenaan dilaksanakan serta-merta di sekolah yang dikenal pasti berisiko, khususnya yang berhampiran kawasan hutan atau laluan hidupan liar.
“Antara langkah yang diputuskan termasuk membenarkan penangguhan kehadiran murid serta pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya diarahkan oleh PPD atau JPN.
“Bagi sekolah yang terlibat secara langsung, murid akan dikawal sepenuhnya sepanjang berada di kawasan sekolah sehingga keadaan disahkan selamat,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Aznan berkata, pihak pengurusan sekolah turut diarahkan membuat laporan polis sekiranya terdapat sebarang ancaman, selain menutup sementara kawasan berbahaya dan memperketat kawalan pergerakan murid.
“Pengawal keselamatan juga tidak dibenarkan melakukan rondaan secara bersendirian atau pada waktu awal pagi serta lewat malam di kawasan berisiko tinggi.
“Semua sekolah yang dikenal pasti berisiko dikehendaki menghantar Laporan Penilaian Risiko Keselamatan Sekolah kepada PPD dalam tempoh tujuh hari bekerja,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Aznan memaklumkan beliau akan berbincang dengan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Ling Tian Soon, bagi mendapatkan tindakan susulan yang lebih menyeluruh dalam menangani konflik manusia dan hidupan liar.
“Perkara ini juga telah diangkat ke peringkat kementerian untuk tindakan lanjut serta pertimbangan peruntukan yang sewajarnya demi memastikan keselamatan murid, warga sekolah dan komuniti setempat terus terpelihara,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 pagi itu, seorang pengawal keselamatan sekolah berkenaan, Abdul Rahman Ahmad, 62, nyaris maut selepas diserang seekor gajah di hadapan pintu masuk sekolah ketika sedang memulakan tugas.
Mangsa dilibas dengan belalai gajah sebelum terjatuh ke dalam longkang, menyebabkan kecederaan pada jari tangan kanan dan kaki kiri, selain mengalami bengkak di bahagian pinggang.