KUALA LUMPUR – Semua kes pendakwaan membabitkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya, Salwani Anuar akan dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, keputusan memindahkan semua prosiding ke Kuala Lumpur dibuat bagi menjimatkan masa, kos serta demi kepentingan keadilan.
"Pemindahan ini melibatkan kes yang difailkan di Shah Alam dan Terengganu.
"Semua kes tersebut akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi memastikan perjalanan kes lebih teratur dan efisien," katanya ketika sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.
Wan Shaharuddin berkata, bekas PTD itu berdepan empat pertuduhan manakala isteri ketiganya turut berdepan empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
"Pertuduhan terhadap Muhammad Hafizuddeain melibatkan dua kes yang akan dibacakan di Shah Alam, manakala isterinya pula akan didakwa di Kuala Terengganu sebelum semua kes dipindahkan ke Kuala Lumpur.
"Semua wang yang terlibat adalah dana haram dan jumlah keseluruhan dianggarkan mencecah hampir RM3 juta,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Hafizuddeain dan isteri ketiganya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menerima hasil aktiviti haram membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM2.19 juta.
Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa atas empat pertuduhan menerima wang haram berjumlah RM2,122,400 antara Februari 2024 hingga November tahun lalu.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menerima wang haram masing-masing RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank berasingan di Jalan Melaka dan Bukit Damansara di sini antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2025.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara hingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kesalahan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, isteri ketiga tertuduh, Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rosli Ahmad atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000.
Wanita itu hadir ke mahkamah menggunakan kerusi roda dipercayai akibat kesakitan pada paha kerana menghidap bisul kronik.
Mengikut pertuduhan, Salwani yang didakwa bertindak sebagai pengawal syarikat Wany Venture menerima wang RM50,000, RM7,000 serta dua lagi transaksi masing-masing RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat berkenaan.
Kedua-duanya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini berhubung kes pengubahan wang haram.