KOTA KINABALU - Mahkamah Koroner di sini pada Khamis diberitahu mengenai kewujudan satu lagi dokumen baharu apabila bekas ketua warden sebuah sekolah menengah agama di Papar memaklumkan bahawa beberapa helaian kertas yang diterimanya sebelum diserahkan kepada polis adalah berbeza daripada kenyataan bertulis lima pelajar yang direkodkan sebelum ini.
Saksi kelapan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang dipanggil semula, Azhari Abdul Sagap mendedahkan perkara itu ketika menjawab soalan peguam, Shahlan Jufri berhubung dokumen yang diterimanya daripada guru disiplin sekolah berkenaan.
Menurut Azhari, selain helaian kertas yang diperolehnya selepas ditemui pelajar D, pelajar tersebut turut memaklumkan bahawa terdapat helaian kertas lain yang pernah ditunjukkan kepada mereka pada malam 15 Julai 2025.
"Pada hari itu, dia (pelajar D) ada cerita berkenaan kertas yang ditunjukkan pada mereka, pada malam 15 Julai itu semasa Zara dipanggil. Dia tidak ingat dan kertas itu tidak ada dengan mereka," katanya.
Azhari menjelaskan bahawa helaian kertas tersebut tidak berada dalam simpanan pelajar D, sebaliknya hanya diperolehnya kemudian daripada guru disiplin, Ustazah Syukriah.
"Saya tiada, saya dapatkan kemudian (dari Ustazah Syukriah).
"Saya sudah serahkan kalau tidak silap kepada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kapayan yang original.
"Saya tidak ingat berapa helai cuma yang saya ada ambil gambar, ada scan, ada beberapa muka suratlah bukan satu helai," katanya ketika menjawab soalan peguam.
Ditanya sama ada helaian kertas yang diterimanya itu sama dengan pengakuan bertulis lima pelajar, Azhari memaklumkan ia adalah dokumen yang berlainan.
"Tiada ada dalam pengakuan bertulis," katanya.
Susulan pendedahan dokumen baharu itu, Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan terpaksa menangguhkan prosiding selama setengah jam bagi membolehkan salinan bahan berkenaan dibuat sebelum diedarkan kepada pihak-pihak berkepentingan dalam inkues ini.
Sebelum itu, dalam prosiding inkues pada Rabu, Mahkamah Koroner turut didedahkan dengan beberapa dokumen lain apabila dua saksi yang dipanggil semula termasuk bekas pengetua, tampil mengemukakan bahan baharu berpotensi membantu prosiding inkues tersebut.
Shahlan bersama pasukannya mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat dalam inkues tersebut.