Bekas pengetua sekolah agama mengaku tidak bersalah 23 pertuduhan pecah amanah

Iklan
Tertuduh yang ditemani ahli keluarganya mengaku tidak bersalah terhadap 23 pertuduhan pecah amanah melibatkan jumlah keseluruhan RM138,673 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pada Khamis.

BUTTERWORTH – Seorang bekas pengetua sekolah agama bantuan kerajaan di Kepala Batas mengaku tidak bersalah terhadap 23 pertuduhan pecah amanah melibatkan jumlah keseluruhan RM138,673 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini pada Khamis.

Tertuduh, Zaidi Salleh, 58, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku Pengetua Maahad Al Imam An Nawawi (MIN) yang berkhidmat dari 2019 hingga 2023 dan diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta, iaitu dana milik MIN, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut.

Tertuduh yang juga Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah MIN dari 2017 hingga 2024, didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta tersebut dengan cara membuat pindahan wang atas talian berjumlah RM138,673.80 kepada diri sendiri dan bagi perbelanjaan lain, sedangkan wang tersebut sepatutnya digunakan untuk penyelenggaraan maahad berkenaan.

Iklan

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebatan dan denda bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang kini bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG10 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas, didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara Julai hingga Disember 2019.

Iklan

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Adam Luqman Mohammad Ismail.

Noor Azura memohon jaminan RM50,000 dengan dua syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Saya memohon wang jaminan RM50,000 terhadap tertuduh dengan mengambil kira jumlah keseluruhan dalam pertuduhan iaitu RM138,673. Saya juga memohon dua syarat tambahan terhadap tertuduh,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Adam memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan mengambil kira tanggungan tertuduh, selain tertuduh masih bertugas di sebuah sekolah di Kepala Batas.

Menurutnya, anak guamnya tidak pernah terlibat dengan sebarang kes mahkamah sebelum ini dan telah memberi sepenuh kerjasama sepanjang siasatan dijalankan oleh SPRM.

“Anak guam saya mempunyai tanggungan lapan orang anak, enam daripadanya masih bersekolah dan belajar di universiti tempatan serta luar negara.

“Dia juga merupakan guru agama di sebuah sekolah dan penanggung tunggal keluarga. Isterinya pula merupakan pesakit diabetes yang memerlukan rawatan dan pemantauan doktor.

“Disebabkan kekangan kewangan, saya memohon wang jaminan dikurangkan. Mengenai penyerahan pasport, anak guam saya tinggal dan bekerja di Kepala Batas. Adalah mustahil untuk dia melarikan diri ke luar negara kerana mempunyai tanggungan di sini,” katanya.

Zulhazmi kemudiannya menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, selain dua syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM berhampiran tempat tinggal sebulan sekali.

Kes ditangguhkan sehingga 26 Februari ini untuk serahan dokumen.