SEREMBAN - Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Nur Hafiz Noor Hamidi, 22, yang ketika kejadian berusia 19 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, pada 9 Disember 2023, jam lebih kurang 11.35 malam di Jalan Sungai Gadut berhampiran sebuah stesen minyak.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bercagar dengan syarat tambahan.
Beliau berkata, hubungan tertuduh dengan mangsa adalah kenalan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan yang minimum kerana ayahnya yang menghidap kanser paru-paru baru keluar dari hospital manakala neneknya dalam keadaan tenat.
Katanya, dia hanya bekerja di kedai makan, mempunyai tiga adik beradik dan penanggung bapa serta neneknya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tidak boleh menganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes 10 Mac depan.