SHAH ALAM – Polis menerima tiga laporan berhubung kes seorang kanak-kanak lelaki autisme yang didakwa dikurung di sebuah taska swasta di daerah ini dengan siasatan kini sedang dijalankan secara menyeluruh.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, laporan berkenaan termasuk yang dibuat oleh ibu bapa kanak-kanak terbabit.
"Siasatan awal mendapati mangsa telah dihantar ke taska berkenaan sejak berusia kira-kira lima tahun dan kini berumur antara 10 hingga 11 tahun.
"Bagi membantu siasatan, polis juga telah merakam percakapan seorang pempengaruh media sosial untuk membantu siasatan berhubung kes ini," katanya pada Khamis.
Ramsay berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau turut memaklumkan bahawa polis telah menerima beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak taska berkenaan bagi tujuan siasatan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis meminta mana-mana individu atau pihak yang mempunyai maklumat berhubung video tular mengenai keadaan sebuah taska dan perbuatan penjaganya terhadap anak asuhan untuk tampil membantu siasatan.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, akan menyiasat secara terperinci berhubung dakwaan penderaan melibatkan pengasuh sebuah taska swasta di Shah Alam.
Asyraf menjelaskan, laporan itu diterima daripada Timbalan Ketua Pengarah Mara selepas dimaklumkan seorang pempengaruh terkenal.
Terdahulu, media melaporkan berdasarkan video tular itu dikatakan tindakan beberapa pengasuh sebuah taska swasta di Shah Alam yang didakwa mengurung seorang kanak-kanak autisme dalam bilik stor.