City bayar semula tiket penyokong selepas dimalukan Bodo

Iklan
Pemain City akan membayar kembali wag tiket kepada penyokong mereka selepas tewas kepada Bodo/Glimt.

BARISAN pemain Manchester City mengambil keputusan untuk memulangkan semula wang tiket kepada penyokong setia yang sanggup terbang jauh hanya untuk menyaksikan kekalahan memalukan 3-1 di tangan Bodo/Glimt dalam aksi Liga Juara-Juara.

Skuad The Citizens mengalami salah satu keputusan paling mengecewakan dalam sejarah kelab pada Rabu apabila kelab kerdil dari Norway itu berjaya meraih kemenangan pertama mereka di peringkat kumpulan kejohanan berprestij Eropah itu.

Iklan
Iklan

Perbezaan taraf kedua-dua pasukan amat ketara memandangkan keseluruhan populasi bandar Bodo yang berjumlah 55,000 orang hampir boleh memuatkan Stadium Etihad milik City selain jurang kewangan yang begitu besar antara kedua-dua kelab.

Susulan kekecewaan tersebut, pemain City bersetuju untuk menanggung kos tiket bagi 374 penyokong yang hadir ke stadium lawan. Difahamkan, tiket bagi perlawanan di Stadium Aspmyra yang kecil itu berharga sekitar £25 (RM135) .

Iklan

Satu kenyataan bersama daripada kumpulan kapten pasukan City yang terdiri daripada Bernardo Silva, Ruben Dias, Rodri dan Erling Haaland berkata, penyokong adalah segala-galanya bagi kelab itu.

"Kami tahu pengorbanan yang dilakukan oleh peminat apabila mereka mengembara ke seluruh dunia untuk menyokong kami di laman sendiri mahupun di tempat lawan dan kami tidak akan sesekali memandang remeh sokongan itu. Mereka adalah peminat terbaik di dunia.

Iklan

"Kami juga sedar betapa jauh perjalanan yang ditempuh penyokong dalam keadaan cuaca sejuk beku sepanjang malam yang sukar bagi kami di atas padang.

"Menanggung kos tiket untuk peminat yang pergi ke Bodo adalah perkara paling minimum yang boleh kami lakukan," jelas kenyataan tersebut pada Khamis.

Prestasi City dilihat agak merudum kebelakangan ini apabila hanya mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir mereka menerusi aksi piala iaitu menentang Exeter dalam Piala FA dan separuh akhir pertama Piala Liga menentang Newcastle.

Juara bertahan itu masih belum memenangi sebarang perlawanan Liga Perdana Inggeris tahun ini, malah kekalahan 0-2 kepada Manchester United hujung minggu lalu menyebabkan mereka kini ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.