KUALA LUMPUR - Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas empat kes menerima hasil aktiviti haram mencecah RM2,122,400 pada 2024 hingga tahun lalu.
Muhammad Hafizuddeain, 58, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima hasil haram iaitu wang masing-masing RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Kesalahan didakwa dilakukan di dua bank berbeza di Jalan Melaka dan Bukit Damansara di sini, antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil
Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Subsekyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai kesalahan itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
MENYUSUL