Kes pasport terbang: 20 pegawai imigresen dibuang kerja

Iklan
Seramai 20 pegawai JIM telah dibuang kerja selepas didapati terlibat dalam kegiatan pasport terbang sejak 2022 hingga 2025. Gambar kecil: Zakaria

PUTRAJAYA – Seramai 20 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah dibuang kerja selepas didapati terlibat dalam kegiatan pasport terbang sejak 2022 hingga 2025.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam tempoh sama seramai 41 pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati terlibat dalam kes berkaitan pasport terbang.

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah tersebut, 20 pegawai telah dijatuhkan hukuman buang kerja selepas disabitkan dengan kesalahan.

"Tindakan ini diambil hasil siasatan dalaman yang telus dan berlandaskan peraturan ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Zakaria berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada Isnin berhubung laporan siasatan berkaitan dakwaan aktiviti pasport terbang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"JIM menghormati peranan dan fungsi EAIC sebagai badan pemantau integriti agensi penguatkuasaan, serta memandang serius setiap dapatan dan syor yang dikemukakan," katanya.

Iklan

Sehubungan itu katanya, JIM telah dan sedang mengambil tindakan susulan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan perkhidmatan awam dan mekanisme tatatertib yang berkuat kuasa.

"Berhubung kes yang dilaporkan, JIM mengesahkan bahawa tindakan tatatertib telah dilaksanakan terhadap pegawai terlibat selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"Langkah ini mencerminkan pendirian tegas JIM bahawa sebarang salah laku, khususnya yang melibatkan integriti dan kepercayaan awam, tidak akan dikompromi," katanya.

Zakaria berkata, selain itu, JIM menegaskan bahawa setiap kes yang dirujuk oleh EAIC akan diteliti secara menyeluruh dan ditangani dengan serius tanpa sebarang kompromi.

"Bagi tahun lalu, sebanyak 61 kes telah dirujuk oleh EAIC dan kesemua kes terlibat dibawa ke Mesyuarat Jawatakuasa Aduan dan diambil tindakan selaras dengan proses serta peruntukan tatatertib yang berkuat kuasa.

"Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan JIM terhadap prinsip akauntabiliti, integriti dan tadbir urus yang baik," katanya.

Beliau berkata, JIM akan terus memperkukuh pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), meningkatkan pemantauan dalaman serta melaksanakan langkah penambahbaikan secara berterusan.

"Ia bagi memastikan perkhidmatan imigresen dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan selari dengan peraturan yang ditetapkan, demi memelihara kepercayaan rakyat dan kepentingan negara," ujarnya.