KDN selesai lebih 12,000 permohonan dokumen pengenalan diri penduduk pedalaman Sarawak

Iklan
Saifuddin Nasution bercakap ketika sesi pertanyaan jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri membabitkan penduduk di kawasan pedalaman Sarawak berjaya diselesaikan menerusi penubuhan Pasukan Petugas Khas (PPK), yang diwujudkan bagi menangani isu ketiadaan dokumen rasmi dalam kalangan rakyat negeri berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada keseluruhan 13,224 permohonan yang diterima sejak Julai 2023, sebanyak 715 baki permohonan kini masih dalam tindakan susulan.

Iklan
Iklan

“Ketiadaan dokumen tersebut menyebabkan kehidupan mereka menjadi lebih sukar. Susah hendak pergi ke sekolah, manakala jika sakit dan perlu ke hospital, perlu belanja mahal.

“Pegawai tidak tunggu di pejabat, mereka pergi ke rumah panjang dan cari orang yang tidak ada dokumen.

Iklan

“Hasilnya, Julai 2023 hingga Julai 2025 kita kumpulkan 13,224 permohonan dan kita telah buat keputusan terhadap 12,509 permohonan. Sekarang tinggal baki 715 dokumen,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Ali anak Biju (Perikatan Nasional - Saratok) yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan status terkini pengeluaran dokumen individu ‘stateless’ di pedalaman Sarawak dan sama ada prosedur operasi standard (SOP) akan dipermudahkan mengikut realiti geografi Sarawak atau kekal terikat birokrasi Putrajaya.

Iklan

Ujar Saifuddin Nasution, pendekatan PPK berbeza dengan prosedur biasa, di mana rakyat Sabah dan Sarawak perlu pergi mendaftar dalam tempoh 40 hari.

“Oleh kerana tempat mereka jauh, mereka tidak dapat daftar dalam tempoh 40 hari.

“Prosedur kali ini, kita cari mereka di pedalaman. Jadi PPK berperanan kumpul data, proses dan kemudian keluarkan MyKad serta sijil lahir,” ujarnya.