2,000 hingga 3,000 kontena e-waste diseludup ke dalam negara - SPRM

Iklan
Ahmad Khusairi (gambar kecil) memaklumkan, SPRM memperhebatkan siasatan terhadap premis-premis yang terlibat dalam pengimportan e-waste secara haram ke negara ini. Foto: Bernama

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperhebatkan siasatan terhadap premis-premis yang terlibat dalam pengimportan sisa elektronik (e-waste) secara haram ke negara ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, hasil risikan mendapati dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena mengandungi e-waste telah diseludup masuk melalui pelabuhan utama negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, syarikat-syarikat yang terlibat dipercayai dimiliki oleh warga asing dan mengimport sisa elektronik, plastik serta kertas untuk diproses bagi tujuan kitar semula.

“Komponen berharga seperti tembaga, aloi dan emas diambil, manakala baki sisa dilupuskan secara membakar, menanam atau dibuang terus sehingga mencemarkan udara dan sumber air.

Iklan

“SPRM tidak menolak kemungkinan kegiatan ini dilindungi oleh pihak berkuasa tertentu yang sepatutnya bertanggungjawab mengekang kemasukan sisa pepejal tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, jika tidak dibanteras secara menyeluruh, ia berpotensi mengakibatkan pencemaran serius kepada negara.

Iklan

Jelas beliau, bagi menangani isu ini, Mesyuarat Petugas Khas Berkaitan Penguatkuasaan E-Waste telah ditubuhkan dengan keanggotaan 12 agensi termasuk SPRM, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKSEM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Mesyuarat ini akan meneliti undang-undang khusus berkaitan e-waste dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibanteras sehingga ke akar umbi,” ujarnya.

Tegasnya, SPRM memandang serius isu ini dan memberi amaran kepada pihak berkuasa yang terlibat agar segera menghentikan pengimportan e-waste.

Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya mencadangkan moratorium enam bulan sebagai langkah percubaan untuk melihat implikasi sebenar terhadap ekonomi, alam sekitar serta sistem penguatkuasaan negara.

Laporan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) 2025 menunjukkan Malaysia antara negara teratas yang mengimport sisa sejak 2023, manakala Indeks Sisa Tidak Diuruskan (Mismanaged Waste Index - MWI) 2025 mengklasifikasikan Malaysia dalam kategori tinggi dengan kira-kira 26.4 peratus sisa plastik tidak diuruskan dengan baik.