SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan berhubung kes melibatkan IJM Corporation yang berkaitan dengan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Menurut sumber, pasukan penyiasat menerusi Op Heart telah menjalankan pemeriksaan dan penggeledahan di empat lokasi berasingan melibatkan kediaman dan pejabat salah seorang anggota pengurusan tertinggi IJM Corporation.
"Pada masa sama, SPRM turut membekukan sebanyak 55 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat berkaitan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan kira-kira RM15.8 juta.
"Selain itu, siasatan turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram," katanya.
Tambahnya, sehingga kini sembilan rakaman pernyataan telah diambil, termasuk dua daripada pihak pengurusan tertinggi syarikat terbabit.
"Rakaman pernyataan dua pengurusan tertinggi syarikat tersebut disambung hari ini (Rabu), dan lima orang saksi lagi akan dipanggil untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat," katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Pada 19 Januari lalu, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM telah menjalankan siasatan terhadap dua individu daripada pengurusan tertinggi IJM Corporation.
Pada Selasa, SPRM memaklumkan bahawa sembilan individu telah dirakam keterangan, termasuk dua pihak berkepentingan, bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penglibatan IJM dalam skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion.