'Adik berhutang, abang yang kena culik'

Iklan
Buruh Mohamad Syamsul Azroy Che Anuar, 32, dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menculik seorang lelaki dan mencuri sebuah kereta di Tendong pada bulan lepas. Foto Bernama.

PASIR MAS – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda keseluruhan RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menculik abang kepada lelaki yang didakwa berhutang dan mencuri kereta penghutang terbabit, bulan lalu.

Hakim Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Syamsul Azroy Che Anuar, 32, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama tiga lagi individu yang masih bebas didakwa menculik Mohd Shahrul Nizam Mohd Asri, 35, di sebuah rumah di Jalan Sungai Tendong, Pasir Mas kira-kira jam 3.30 petang pada 6 Jun lalu dengan niat supaya mangsa dikurung secara salah.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Hakim Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Syamsul Azroy selepas mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Foto Bernama

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama individu sama didakwa mencuri sebuah kereta Volkswagen Jetta milik Mohd Taufik Mohd Asri, 25, di lokasi dan waktu yang sama.

Iklan

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun serta denda.

Berdasarkan fakta kes, Mohd Shahrul Nizam berada di rumah keluarganya di Tendong sebelum didatangi empat lelaki yang menaiki sebuah Perodua MyVi berwarna putih.

Tiga daripada suspek kemudian turun dan bertanyakan mengenai adik mangsa, Mohd Taufik, namun dimaklumkan lelaki itu tiada di rumah.

Mangsa kemudian digari dan dibawa ke sebuah bilik berhampiran dapur sebelum salah seorang suspek mengacukan pistol sambil bertanya, “mana Taufik? Dia tak bayar duit aku.”

Suspek turut meminta mangsa menunjukkan lokasi kunci kereta milik Mohd Taufik sebelum mengambilnya dan melarikan kereta itu.

Semasa kejadian, bapa mangsa yang berada di rumah turut diugut menggunakan pistol dan diarahkan supaya tidak masuk campur.

Mata dan mulut mangsa turut ditutup menggunakan pita pelekat.

Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam kereta sebelum dibawa lari hingga ke Thailand melalui pangkalan haram manakala seorang lagi suspek memandu keluar Volkswagen Jetta milik Mohd Taufik.

Sejurus itu, bapa mangsa kemudian membuat laporan polis.

Mangsa dikurung di sebuah rumah di Thailand namun akhirnya dibebaskan sebelum diselamatkan oleh polis Thailand pada 7 Jun lalu.

Tertuduh berjaya ditahan di Ajil, Terengganu 16 Jun lalu dan mangsa berjaya mengecamnya sebagai individu yang memegang pistol serta bertanyakan mengenai Mohd Taufik ketika kejadian.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Na'ilah Harizan, mengemukakan kira-kira 10 gambar berkaitan kes termasuk sebuah Perodua MyVi yang dibakar dan kesemua gambar itu diakui tertuduh.

Pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh selain penggunaan pistol ketika menculik mangsa yang menunjukkan tertuduh bertindak nekad dan berbahaya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman diringankan serta dipenjara bermula dari tarikh tangkap selain memaklumkan masih bujang.

Mahkamah kemudian mensabitkan tertuduh atas kedua-dua pertuduhan berdasarkan pengakuan bersalahnya.

Bagi pertuduhan menculik, tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat tahun dari tarikh tangkap serta denda RM3,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan mencuri pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda dengan kedua-dua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.