KUANTAN - Pencemaran Sungai Lipis di Raub hingga airnya bertukar kemerahan dipercayai berpunca dari pelepasan kelodak kolam takungan kawasan operasi lombong bijih besi di hulu Sungai Bekil pada Isnin.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Zakaria Ahmad@ Mohd berkata, ia berdasarkan kesan-kesan limpahan yang ditemui semasa pemeriksaan dibuat di kawasan operasi lombong bijih besi itu selain disahkan pengusaha lombong terlibat.
Menurutnya, pengujian 'in-situ' di lokasi aduan mendapati kadar kekeruhan (NTU) air sungai 75.48 NTU melebihi had 50 NTU bagi kelas II bagi sumber air.
"Bagaimanapun bacaan pH 7.34 dan Oksigen Terlarut (DO) 7.47 miligram per liter (mg/L) adalah normal bagi kehidupan akuatik.
"Berdasarkan pemeriksaan dijalankan di sepanjang Sungai Lipis mendapati hanya Sungai Bekil yang terletak berdekatan kawasan lombong berwarna keruh," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Zakaria berkata, berdasarkan rekod JAS, tiada projek perlombongan bijih besi yang diluluskan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) di Daerah Raub.
"Aktiviti perlombongan sedia ada yang diluluskan pajakan melombong sebelum tahun 2015 tidak tertakluk kepada keperluan Laporan EIA di bawah Seksyen Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Justeru JAS tiada kuasa untuk keluarkan arahan henti kerja ke atas lombong terbabit sebaliknya hasil siasatan akan dimajukan kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Pahang untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Jelasnya, JAS akan terus menjalankan pemantauan kualiti air sungai dari masa ke semasa dan terus bekerjasama dengan Jabatan dan Agensi yang berkaitan.
Sementara itu katanya, susulan pemeriksaan pada Selasa mendapati keadaan air sungai itu kembali pulih dan tidak berwarna kemerahan seperti sebelumnya lagi.
Sebelum ini, insiden pencemaran air Sungai Lipis di Jambatan Sengkela, Raub itu menimbulkan tanda tanya sebelum video kejadian dirakam dan ditularkan di media sosial.