Rekod baharu industri automotif negara

Iklan
Mohd Shamsor

PASARAN automotif Malaysia terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila merekodkan jumlah keseluruhan industri (TIV) tertinggi dalam sejarah bagi dua tahun berturut-turut pada 2025, diterajui jenama nasional, yang merangkumi 62.3 peratus pegangan pasaran.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, TIV meningkat kepada 820,752 unit berbanding 816,747 unit tahun lalu, mencatatkan kenaikan 0.5 peratus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, prestasi kukuh tersebut didorong pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 4.7 peratus bagi tiga suku pertama 2025, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan pemulihan eksport.

"Industri automotif Malaysia mencatat satu lagi tahun bersejarah pada 2025, apabila jumlah volum industri melepasi 800,000 unit untuk tahun kedua berturut-turut serta merekodkan jualan bulanan dan suku tahunan tertinggi dalam sejarah.

Iklan

"Prestasi ini disokong oleh permintaan pengguna yang berdaya tahan, keadaan pembiayaan yang menggalakkan serta penerimaan yang semakin meningkat terhadap kenderaan elektrik, sekali gus mencerminkan kekuatan berterusan industri ini dan peralihannya ke arah mobiliti yang lebih maju serta mampan," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Jelas beliau, jenama nasional merekodkan jualan sebanyak 511,468 unit, merangkumi 62.3 peratus pegangan pasaran, berbanding 309,284 unit bagi jenama bukan nasional yang mewakili 37.7 peratus pegangan.

Iklan

"Gabungan pegangan pasaran dua jenama nasional meningkat 0.4 peratus kepada 62.3 peratus atau 511,468 unit, walaupun dengan kadar pertumbuhan yang lebih rendah iaitu 1.1 peratus.

"Sementara itu, jenama bukan nasional mencatatkan volum jualan lebih rendah sebanyak 309,284 unit, mewakili penurunan 0.6 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan sumbangan yang lebih lemah daripada segmen kenderaan komersial,” katanya.

Selain rekod jualan tahunan, industri turut mencatat beberapa pencapaian penting lain, termasuk rekod jualan bulanan tertinggi sebanyak 90,716 unit pada Disember 2025, serta rekod jualan suku tahunan tertinggi sebanyak 241,416 unit pada suku keempat 2025.

Di samping itu, keadaan pembiayaan yang lebih menggalakkan susulan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus sejak Julai 2025 turut merancakkan pembelian kenderaan.

Faktor kestabilan sosio-politik juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan keyakinan perniagaan dan kestabilan pasaran pekerjaan.

Kadar pengangguran negara pula menurun ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun pada 2.9 peratus, sekali gus menyokong sentimen pengguna.

Dari segi struktur pasaran, tempahan tertunggak yang kukuh, khususnya dalam segmen A, menyumbang kepada peningkatan bahagian pasaran jenama nasional kepada 62.3 peratus daripada TIV, naik 0.4 mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, menurut Mohd Shamsor, terdapat beberapa potensi risiko penurunan yang boleh menjejaskan pasaran automotif pada tahun 2026, antaranya pertumbuhan ekonomi yang sederhana, dengan KDNK Malaysia dijangka berkembang antara 4.0 hingga 4.5 peratus pada 2026.

Ujar beliau, ketidaktentuan perdagangan global, termasuk dasar perdagangan Amerika Syarikat yang tidak konsisten serta ketegangan geopolitik yang berterusan juga boleh menjejaskan pasaran.

"Selain itu, tekanan inflasi meningkatkan kos pembuatan, komponen dan operasi.

"Tamatnya insentif cukai berkaitan EV bagi EV import, serta potensi perubahan kepada duti eksais dan kaedah pengiraan harga yang boleh memberi kesan kepada harga kenderaan juga menjadi faktor yang mempengaruhi," katanya.

Jelas beliau, walaupun minat terhadap EV semakin meningkat, segmen tersebut masih berada pada peringkat awal dan memerlukan penekanan serta pembangunan yang lebih menyeluruh, khususnya dari segi pemasangan tempatan.

"Harga bahan api bersubsidi berpotensi memperlahankan peralihan dan menjejaskan permintaan terhadap EV.

"Dari sudut ekonomi yang lebih luas, kekangan pendapatan boleh guna akibat peningkatan kos sara hidup berkemungkinan melemahkan kuasa beli keseluruhan pengguna terhadap kenderaan,"ujar beliau.

Bagaimanapun, di sebalik cabaran yang dihadapi, beliau optimis terhadap beberapa faktor positif yang berpotensi menyokong daya tahan pasaran pada tahun 2026.

"Antaranya kadar pengangguran yang kekal rendah, sekali gus menyokong kestabilan pendapatan dan keyakinan pengguna.

"Selain itu, permintaan yang kukuh terhadap kenderaan mampu milik dan cekap bahan api, khususnya jenama nasional,"katanya.