JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor menyambut baik keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 kerana memperkenalkan idea dan konsep Rumah Bangsa sebagai usaha terancang bagi mengembalikan asas muafakat Melayu yang semakin terhakis ketika ini.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, keputusan yang dimuktamadkan pada pada 17 Januari lalu itu dilihat amat bertepatan dengan realiti landskap politik semasa, khususnya ketika politik Melayu berdepan krisis serta kelompangan kepimpinan.
Justeru menurutnya, idea dan konsep perpaduan berteraskan keindukan Melayu itu akan diperhalusi menerusi penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Pemuda UMNO Johor berpandangan konsep Rumah Bangsa ini mencerminkan komitmen UMNO untuk kembali mencari titik persamaan dalam kalangan parti politik yang berteraskan identiti Melayu dan Islam di Malaysia.
“Ia juga menzahirkan keikhlasan UMNO bagi menyeru semula penyatuan orang Melayu dan Islam demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
"Kelompangan kepimpinan Melayu yang berlarutan telah menyebabkan kegagalan parti-parti politik Melayu menawarkan kepimpinan yang jelas, wawasan baharu serta gagasan perpaduan yang mampu mengembalikan semangat muafakat Melayu yang sekian lama diharapkan oleh rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Noor Azleen berkata demikian bagi mengulas pengumuman Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi pada PAU 2025 berhubung cadangan penubuhan Rumah Bangsa sebagai wadah penyatuan orang Melayu dan Islam bagi menangani perpecahan politik serta mengisi kelompangan kepimpinan Melayu ketika ini.
Pada masa sama, beliau turut menggesa agar UMNO melalui jawatankuasa berkenaan segera memuktamadkan terma rujukan, syarat serta mekanisme pelaksanaan yang jelas bagi memastikan konsep Rumah Bangsa dapat direalisasikan dengan berkesan.
Malah katanya, Pemuda UMNO Johor turut mencadangkan supaya jawatankuasa itu mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan politik berteraskan Melayu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu serta tokoh pemikir dan profesional Melayu.
“Adalah diharapkan dengan terdirinya Rumah Bangsa kelak, UMNO dapat mengembalikan peranannya sebagai jurucakap utama mewakili suara majoriti orang Melayu.
"Namun, konsep Rumah Bangsa tidak wajar disempitkan kepada kepentingan politik kepartian atau sekadar alat menghadapi pilihan raya sahaja, sebaliknya berfungsi sebagai wadah memelihara hak orang Melayu dan kepentingan bumiputera selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Malah, Rumah Bangsa juga perlu bersifat sederhana dan inklusif serta dihormati semua kaum di Malaysia supaya tidak menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat majmuk," katanya.