PRK Kinabatangan, Lamag: SPR tutup lebih awal pusat undian di pedalaman, elak risiko cuaca

Iklan
SPR mengambil langkah menutup pusat undian pedalaman lebih awal untuk elak risiko cuaca.

KINABATANGAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil langkah menutup pusat undian yang terletak di kawasan pedalaman lebih awal bagi mengelak risiko gangguan cuaca serta memastikan peti undi dapat dibawa keluar dengan selamat ke pusat penjumlahan undi kelak.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini menjadi faktor utama dalam keputusan tersebut.

Iklan
Iklan

"Ya, cuaca agak tak menentu di kebelakangan ini dan kita berharap pengundi-pengundi maklum dengan keadaan cuaca dan mengikuti perkembangan semasa. Walaupun kita harap pengundi-pengundi boleh keluar lebih awal sebab selalunya cuaca akan menjadi lebih buruk pada sebelah petang.

"Jadi kita harap pengundi-pengundi dapat memantau keadaan dan sebaik mungkin dapat keluar mengundi pada hari pengundian, 24 Januari nanti," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, di sini pada Selasa.

Iklan

Ditanya mengenai cabaran membawa peti undi dari kawasan terpencil menggunakan helikopter, Ramlan menjelaskan bahawa pengalaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) November tahun lalu dijadikan pengajaran.

"Kita telah pun mengambil kira apa yang berlaku dalam pilihan raya baru-baru ini, di mana satu pusat pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Keramuak, Kuamut, tidak dapat dibawa keluar walaupun menggunakan helikopter kerana keadaan cuaca yang agak buruk.

Iklan

"Jadi kita telah pun mengambil tindakan dengan mengawalkan waktu penutupan pusat pengundian daripada jam 3 petang kepada 2 petang.

"Harap pengundi di kawasan berkenaan maklum dengan perubahan ini supaya peti-peti undi dapat dibawa keluar lebih awal dan mengelakkan insiden serupa berlaku lagi," jelasnya.

Berhubung jangkaan keputusan pilihan raya, beliau menjangka pengiraan dapat disiapkan lebih awal dan keputusan diperoleh sekitar jam 10 malam.

"Dengan mengambil kira lokasi pusat-pusat pengundian yang agak jauh, kita menjangkakan seawal jam 10 malam, kita boleh dapat keputusan.

"Kita ingin pastikan proses pengundian berjalan lancar dan keputusan dapat diumumkan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, ditanya bagaimana usaha untuk SPR meningkatkan penglibatan pengundi keluar untuk membuang undi dan seterusnya meningkatkan peratusan keluar mengundi, beliau memaklumkan perkara itu telahpun diuar-uarkan di media sosial.

"Kita mengambil pelbagai tindakan, antaranya menguar-uarkan proses pilihan raya ini melalui media sosial dan pelbagai saluran komunikasi lain.

"Kita harap pengundi-pengundi maklum dan mengambil perhatian. Saya amat berharap semua pengundi mengambil kesempatan ini untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam melaksanakan proses demokrasi dan memastikan ia terus subur.

"Jadi saya berharap jangan jemu, walaupun kita baru mengundi dan teruslah keluar mengundi pada 24 Januari ini seramai mungkin," katanya.