PEMAIN perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong akan menjalani satu lagi ujian sebelum kembali berlatih sepenuhnya di dalam gelanggang.
Tze Yong, yang dalam proses pemulihan susulan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) sejak tahun lepas berkata ujian berkenaan bertujuan bagi mengimbangi otot kedua-dua belah kakinya.
"Saya rasa ujian akan dijalankan dalam masa beberapa minggu lagi," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Bukit Kiara, hari ini.
Pemain berusia 25 tahun yang kini hanya menjalani latihan ringan berkata proses pemulihannya berjalan lancar dan tidak lagi mengalami kesakitan seperti dialaminya sebelum ini.
Pemenang pingat perak perseorangan lelaki Sukan Komanwel 2022 itu juga menyerahkan keputusan kepada barisan jurulatih bagi menentukan tarikh sebenar beliau boleh beraksi dalam kejohanan kompetitif.
Ditanya sama ada kecederaan ACL itu merupakan tempoh sukar dalam kariernya, Tze Yong sebaliknya mengakui lebih terkesan dengan impak kecederaan tulang belakang dialami pada 2024.
"Saya rasa kecederaan sebelum ini lebih sukar (dihadapi) sebab itu kecederaan pertama dialami dan emosi pun tidak tahu macam mana mahu kawal," katanya.
Menurut Tze Yong, beliau perlu terus melawan musibah dihadapinya bagi mengelak dirinya daripada berasa menyesal membuat keputusan yang mampu menoktahkan perjalanannya dalam sukan badminton lebih awal.
Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Tze Yong mengalami kecederaan berkenaan selepas keputusan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mengesan terdapat koyakan ACL pada lutut kanan.
Pemain kelahiran Johor itu mengalami kecederaan ketika aksi pusingan pertama Masters Malaysia 2025 ketika menentang pemain Hong Kong Angus Ng Ka Long sekali gus terpaksa menarik diri daripada perlawanan. - Bernama