KINABATANGAN - Peratusan keluar mengundi bagi pengundi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag setakat jam 9 pagi ini masing-masing ialah 20.11 peratus dan 23.40 peratus.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah tersebut melibatkan seramai 38 pengundi bagi Parlimen Kinabatangan dan 44 pengundi bagi DUN Lamag, yang berdaftar di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan.
Iklan
Iklan
Pusat pengundian awal tersebut dibuka seawal jam 8 pagi dan dijadualkan tutup pada 5 petang ini.
Proses pengundian awal itu melibatkan seramai 196 anggota polis yang menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu bagi kedua-dua kawasan.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Kurniawan Naim Moktar, calon Parti Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman dan calon bebas, Goldam Hamid, manakala di PRK DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlangsung antara Mohd Ismail Ayob atau Miha dari BN dan Mazliwati Abdul Malek mewakili Warisan.
PRK diadakan susulan penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, meninggal dunia pada 5 Disember lalu akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.